Sunday, June 27, 2010

Kuasa Melayu ...

Salam,

Hari ini bila bercakap akan politik ramai yang meluat. Tetapi bila bercakap hal yang tidak ada masa depan seperti mengata orang, mengumpat orang semua orang boleh laksanakan tanpa rasa segan silu. Mungkin ramai tak sedar menjaga politik negara, sebenarnya kita boleh menentukan masa depan negara dengan menjadi pengundi yang bijak. Bila dibaca suratkharbar Berita harian hari ini 1:40, 1 melayu dan 40 bukan melayu nisbah pengundi yang ada di Malaysia. Tapi hairan kenapa masih belum ada orang sedar akan kesan politik semasa kepada diri. Jika tersilap langkah, negara akan tergadai.

Saya menulis ini, atas keprihatinan saya terhadap senario politik semasa di Malaysia. Kita boleh lihat kuasa orang melayu semakin kecil peratusnya serta terbahagi kepada 3 bahagian. Bagaimana kuasa boleh menentukan masa depan negara. Ramai yang tidak sedar, atau buat-buat tak sedar, di mana menentu hala tuju negara adalah kita. Ramai yang sangka parti mereka itu adalah benar dan boleh membenarkan apa saja. Sedangkan kita lihat beberapa percanggahan berlaku dari segi maklumat yang kita terima. Sebenarnya kita perlu kembalikan kuasa orang MELAYU dalam menentukan destinasi perjuangan kita. Kita tidak boleh taksub dengan sesebuah parti cap ayam atau unta. Kita perlu kembalikan kepadaKERIS perjuangan bangsa kita dahulu dengan tujuan untuk pastikan matlamat dan kuasa Melayu dapat dikekalkan. Pepecahan dari parti secara tidak langsung memberi ruang dan peluang kepada bangsa asing melihat kita semakin lemah.

Kuasa Melayu yang sebelum ini 60% kekal kuat untuk memastikan perjuangan Perlembagaan Fasal 153 kuat untuk dipertahankan ketika itu. Tapi kita semakin hari semakin kering dan halus dikeluarkan kerana tinggal 20% kuasa Melayu? Adakah ia benar? Jika tidak manakan Melayu akan menjadi kuat seperti dulu. Kuasa Melayu semakin terhakis akibat semua orang inginkan kuasa. Kuasa menentukan hala tuju negara bangsanya. Kita kini semakin hilang taringnya, kuasanya dek akibat kerakusan beberapa orang Melayu yang ingin menjadi Perdana Menteri.

Kepada mereka yang belum mendaftar pastikan diri anda terus mencari kaunter pendaftaran untuk mendaftar memilih. Kepada mereka yang sudah boleh mengundi anda perlu bijak memilih. Sokongan kepada parti anda itu perlu dibuat tetapi memilih KERIS perjuangan bangsa andalah pilihan bijak dan memastikan masa depan anak-anak kita terjamin. Buat pilihan yang tepat.

Saja dok tulis...

Wednesday, June 23, 2010

Belajar melihat kesilapan diri sendiri

Salam...

Renungan kali ini, adalah perkongsian ilmu yang dapati selama merantau ini. Dalam kita merantau, sebenarnya kita perlu melihat atau menghisab diri sendiri akan kelemahan yang ada. Selalunya kita akan melihat kesilapan orang lain lebih dari melihat kesilapan diri sendiri. Ini berlaku kerana HATI. Memang benar, kita selalu melakukan kesilapan. Tidak ada manusia yang sempurna sifatnya, tingkah lakunya dan tindak tanduknya. Jika adayang sempurna.. mungkin dia rasa terlalu hebat. Bagi saya, tidak ada yang sempurna termasuklah diri saya. Perkongsian ini dicetuskan apabila kita sentiasa keraskan hati apabila kita ingin meminta maaf dan memberi maaf. Sedangkan kita lupa, Allah Maha Kuasa dan Maha Menguasai akan hati manusia.

Jika kita mendengar beberapa bahan ceramah dari ulama', mereka menggalakkan kita kita supaya meminta maaf dan memberi maaf jika orang yang kita jumpa itu tidak mahu memaafkan. Adatlah manusia ini ada sifat EGO yang tidak mungkin dilenturkan oleh sesiapa. Jika hati itu berpaut dengan kalimah Allah, selalunya mudah. Tetapi tidak, sebagai umat Islam kita patut mendoakan orang yang sebegitu. Hairan dibuatnya apabila kita mempunyai hati yang keras. Baru saya sedar, hati yang keras tidak membawa kemana pun. Jika diingat lagu kumpulan Hijjaz 'Pandangan mata selalu menipu, pandangan akal selalu tersalah, pandangan nafsu selalu melulu, pandangan hati itu yang hakiki, kalau hati itu bersih'.

Kadangkala, kita tak sedar dimana kita juga ada masalah yang sama. Hati yang kadangkala pagi-pagi iman yang meningkat, kadangkala petang pula iman menurun, ini menyebabkan kita kurang waras berfikir untuk melihat kesilapan diri ini. Kita perlu sedar, mencari kesilapan diri sudah dituntut dalam Islam. Sebab dengan melihat kesilapan diri, kita akan belajar serta melakar keupayaan saujana yang boleh memberi ruang dan peluang kita berfikir dan membetulkan kesilapan. Tapi bila kita angkuh dengan apa yang kita ada, sebenarnya kita melakukan kesilapan yang nyata. Usahlah kita pertahankan benang yang basah, sedangkan kita tahu dimana silapnya. Lagi satu belajarlah memberi maaf dan meminta maaf. Usah kita kirakan siapa yang salah dan betul. Kita pun bukan selalu betul, dan sering melakukan kesilapan. Maka lihat, renung dari sudut yang berbeza. Mungkin kita akan ketemui jalan yang penuh dengan cahaya.

Terima kasih, Selamat berpuasa dan beramal...

KERIS PILIHANKU...

Tuesday, June 22, 2010

Belia...

Salam,
Belia hari ini, mempunyai sifat yang penuh dengan idelismenya, mendesak dan mampu menyuarakan pendapatnya. Belia hari ini juga akan bangkit jika tidak dijaga diri belia ini. Belia bukan mahu dibelai atau disogok dengan wang, tapi belia mahu ada nilai KEBERSAMAAN dalam menggerakkan belia. Kita boleh lihat belia di kampung, di pinggir bandar, di bandar, atau di bandar metropolitan perubahan sosial berlaku dengan drastik dari segi pemikiran, pemakaian, budaya menunjuk-menunjuk dan memberontak bila tidak dapat sesuatu yang dicapai. Itu bila belia tidak dibimbing, dididik dengan baik. Jika gelombang positif dalam diri belia ini dibimbing dengan baik, kita boleh lihat perkembangan pembangunan kendiri belia akan menjadi lebih baik.
Belia hari ini, dipersalahkan jika apa jua masalah yang menimpa. Memang benar, tapi sebagai insan kita sentiasa berfikiran positif untuk membimbing belia untuk maju ke hadapan. Tapi kita sedar pergerakan pertubuhan belia di seluruh Malaysia sedang mengalami kekurangan tenaga penggerak sukarela? Adakah benar? Bantuan pentadbiran, bantuan aktiviti juga makin tenat? Adakah benar? Tapi bagaimana kita atasi masalah ini. Penulisan saya ini tidak boleh diambil kira, kerana ia merupakan pandangan peribadi saya. Sebab saya melihat dari skop yang berbeda dari orang lain. Kita sedar Kementerian Belia dan Sukan dan Jabatan Belia Sukan Negeri mengalami kekurangan sumber, kita perlu mencari mekanisme perjalanan pentadbiran yang bijak. Kita tidak boleh terlalu mengharap atau memberi harapan yang menggunung kepada KBS atau JBS. Kebijaksanaan kita akan memberi impak yang konsisten dalam merancang, mengurus, mentadbir persatuan kita.
Tapi carilah sumber selagi kita ada kemampuan. KBS atau JBS ini, ibarat ayah kita, jika dimaki atau dimarahi mungkin ayah kita ini terasa hati. Kita perlu bijak menggunakan saluran yang ada bagi mengimbangi permohonan kita. Usah disebabkan nila hancur susu sebelanga. Jika ingin lakukan sesuatu yang mungkin susah, ibarat tarik benang dalam tepung, benang tak putus, tepung tidak berserak. Mungkin kaedah yang mesra, Insya Allah kita pasti akan temui jalannya.
Pandangan saya ini, setelah pengalaman demi pengalaman saya tempuhi. Usah kita menunding jari atau mencari kesalahan orang lain. Saya sentiasa ingatkan diri saya, mempunyai kelemahan yang perlu saya baiki setiap hari. Benar kita mesti jadi belia yang berani bersuara dan lantang memperjuangkan hak, tapi pada yang sama ikutlah sunnah Rasullullah SAW, yang mempunyai kemahiran interpersonal yang tinggi yang boleh kita contohi. Belia mesti diterapkan ilmu dari segi akademiknya, agamanya dan beberapa kemahiran yang boleh kita pelajari.
Dari belia untuk belia dan kepada belia lah kita berbakti...
Ini merupakan pandangan peribadi saya ...

Wednesday, June 16, 2010

Bukan kemenangan yang dicari.....

Salam,
Sudah ku bilang, akan ramai yang salah tafsir apa yang kita sampaikan. Walaupun niat baik akan disalah erti oleh sesetengah pihak. Entahlah apa yang bermain dalam pemikiran orang sekarang. Baik yang diungkap buruk yang ditafsirkan. Bila dikaji kenapa dan bagaimana Keruntuhan Kota Melaka perlu dijadikan teladan. Disebabkan iri hati, fitnah dan hasad dengki runtuh lah sebuah kota yang termasyhur satu ketika dahulu. Tapi adakah sekarang masih lagi kita mencari salah orang. Tidak habis-habis mencari salah.


Pernah satu ketika orang bertanya, "Hang dah lama ke bersilat", atau "hang boleh ke bersilat". Saya senyum saja. Buat apa nak cakap atau kata kita boleh atau tidak. Diam tidak bererti kita bersetuju, berkata nanti risaukan dikatakan kurang waras dan biadap. Entahlah yang mana satu betul pun tidak tahu. Jika dilihat Nasihat Luqman Al-Hakim, pernah mengalami satu situasi yang dimana, orang melihat apa saja tindakan laku Luqman Al-Hakim adalah salah. Sehinggakan bawa keldai salah, ditunggang pun salah, sehinggakan ditinggalkan keldai itu, baru semua orang puas hati ke? Dunia semakin tersempit dengan perasaan yang bercampur baur yang tidak diselami dengan Iman dan Amal. Saya menulis, maka saya mesti lakukan lebih dari mereka yang membaca. Jari saya hampir dengan hati.

Kemenangan tidak bererti kita menyatakan kita dipihak yang benar dan betul. Kekalahan tidak bererti kita sebenarnya lemah dan tidak bermaya. Tapi kemampuan mengangkat diri sendiri ke tahap yang lebih dari sebelum itu lah yang dituntut. Bukankah mencari salah itu akan menyebabkan kita akan menindas orang yang bersalah, tetapi menegur cara yang berhikmah yang dituntut dalam Islam. Adakah kita menegur itu salah? Salah bila tidak kena dengan caranya. Entahlah, adakah semua orang itu baik sangat ke? Sehingga menegur sudah dianggap satu kesalahan. Kita fikir sendiri....

Bersilat bukan membina kekuatan semata-mata. Tetapi ia mengasahkan gerak hati yang kuat. Melihat gerak lawan yang berbeda-beda serta mengetahui gerak lawan yang mungkin kita tidak sedar. Tapi kita perlu akui setiap manusia ada kelemahannya. Adakah mengakui kelemahan itu susah sehinggakan kita masih meletakkan keegoan kita sebagai orang yang tidak boleh ditegur.

Bersilat sebenarnya baru lagi, langkah dan gerak mungkin dilihat sumbang. Tapi, gerak hati lawan masih kita boleh ketahui dengan Izin Allah. Tapi kena belajar lah bersungguh-sungguh. ada satu ketika dahulu ada orang ajak saya untuk masuk silat olahraga. Sebenarnya bukan kemenangan dicari tapi kepuasan yang dicari. Mencipta nama dalam untuk diri sendiri itu yang paling utama. Merasai bagaimana pertandingan, dan merasai bagaimana menang dan dikalahkan. Perasaan itu tidak boleh dapat bila kita keluar dari dunia yang lain. Sebab itu menang bukan yang dicari tetapi kesungguhan dan keazaman dalam mencapai kejayaan itu yang penting. Niat yang ikhlas untuk membuktikan kita mampu itu yang patut kita tingkatkan. Bila kalah tidak bererti kita tidak mampu bangkit, tapi kebangkitan selepas kalah akan lebih digeruni bagi mereka yang sekali atau dua kali kenal erti pejuang.

Semangat kekeluargaan yang telah dipupuk oleh guru patut dicontohi. Mungkin pelbagai tanggapan akan muncul, sedangkan ia perlu dikaji dari pelbagai sudut. Adakah salah kita menghormati guru kita yang sedia ada? Adakah salah kita berguru dengan orang lain? Adakah kita tahu ilmu yang guru kita turun kepada kita akan memberi 1001 erti dan menjadi perhiasan diri? Sedangkan menuntut ilmu itu wajib bagi setiap umat Islam. Maka carilah ilmu walaupun kita berada di mana saja. Kemampuan diri kita hanya kita tahu bagaimana hendak tingkatkan atau kita buat seperti biasa. Jika ia biasa, orang tahu ia biasa, jika luar biasa, orang lain akan dapat merasainya. Kenalpasti kekuatan kita di mana? Adakah kita sanggup mencarinya? Adakah kita mampu mencari ilmu selagi hayat ada dikandung badan? Berani atau tidak kita tentukan. Usahlah mencari salah orang lain, sedangkan kita masih lagi membuat kesilapan yang sama. Saya juga insan yang lemah, sentiasa ada kelemahan. Tetapi hisablah diri sendiri dan kenalpasti kelemahan diri untuk ditingkatkan kekuatan yang jauh lebih hebat dari masa yang lalu.


Dalam silat saya diajar hormati guru (tidak kira dari mana), disiplin, patuh arahan selagi ia benar, dan taat kepada organisasi yang menjadi tunjang kepada asas perjuangan pertubuhan. Jika terpesong wajib untuk kita tegur, dan bersedia untuk kita berundur, jika dikalangan ahli tidak mahu mendengarnya. Kemenangan bukan menjadi asas perjuangan, tapi semangat kekeluargaan yang menjadi asas pertimbangan dalam pertubuhan. Sudah lama saya rindukan semua ini. Saya dimarah, ditengking dan dilipat oleh guru saya sendiri, tapi saya merasai kepuasan bila mempelajari ilmu persilatan. Keluarga yang saya dapat terlalu ramai, tidak kisah kau pakai bengkung apa atau sandang apa. Menjadi kemesraan pada Kursus Kejurulatihan pada hujung Disember 2008, terkumpulnya semua pendekar yang tidak termasyhur di Negeri Perak. Begitu indah bahasa, tunduknya mereka kepada guru walaupun berpelajaran tinggi.

Renung-renung, fikir-fikirkanlah dan pandang lah kehadapan...

Blogger menulis bukan kerna nama, tapi atas nama perjuangan...

Kepuasan Berpersatuan . . .


Salam,

Terbit dihati ini, ingin menulis setelah lama berkecimpung dalam pertubuhan belia dan NGO sejak 1993 hingga kini. Mula-mula macam tak percaya, tapi bila dilihat dan menghisab diri ini rupanya dah lama rupanya. Tapi persoalan timbul apa yang aku sudah buat, dan apakah yang bakal aku laksanakan untuk anak bangsaku? Jika dicerita pengalaman, bermacam-macam aku hadapi, pahit maung, kenangan manisnya dan bermacam-macam lagi. Dari usaha sebegitu muda hinggalah tidak berapa nak tua aku terus dalam persatuan. Sebenarnya banyak perkara kehidupan akan kita perolehi dalam berpersatuan. bukan mudah hendak mendapat ilmu terus iaitu pengalaman yang berharga.
Kita diajar, memimpin diri sendiri diasah dengan menjaga kawasan, kebersihan dan bermacam lagi. Mula-mula mungkin akan ada rasa meluat atau malas. Tapi lama-kelamaan akan timbul rasa sukarela itu sendiri. Sebenarnya di Institut GPMS Kampung Seri Rahmat, adalah medan latihan saya mengasah bakat kepemimpinan yang ada dalam diri saya sehingga kini belum tamat pengajian di sana. Masa mula dengan GPMS kita, jadi peserta saja, tiada siapa yang tahu masa depan kita macam mana. Kemudian ada satu ketika, saya diajak untuk menjadi urusetia. Pada permulaan tertanya juga, apakah maksud urusetia ini? Kita dulu lurus bendul, jika benda itu merah kita akan pasti katakan merah. Pengalaman sebenarnya mengajar akan erti kematangan yang amat berharga. Ketika itu menjadi urusetia, saya mengurus hal ehwal pentadbiran DAPUR. Tempat yang renyah dan sentiasa perlu menjaga kebersihan, kena kenalpasti berapa orang yang akan makan, persiapan makan yang perlu tepat pada masa itulah tugas yang saya pelajari diperingkat awal. Tidak terlepas juga tandas merupakan tempat yang perlu dibersihkan. Bila terkenang dalam cerita sahabat Rasullulah SAW, ada juga mencerita apabila kita berada di tempat seperti tandas dan sewaktu dengannya, ia melatih untuk menundukkan keegoan kita. Latihan ini perlu diasah agar mudah melenturkan ego kita sebagai pemimpin.
Mungkin ramai tidak bersetuju, tetapi artikel yang lepas ada saya katakan, kena paksa diri untuk berbuat baik dan tinggalkan yang tidak baik. Usaha mesti kita tingkatkan hari-hari agar dapat capai kemajuan. Pelajaran yang saya dapat dalam persatuan ini, adalah kawan dan lawan. Kita akan kenal pelbagai ragam manusia yang jarang kita temui di luar sana. Kita mungkin boleh kenalpasti kawan, sahabat dan kenalan yang datang dari pelbagai pelusuk kampung, daerah, negeri atau negara. Ada satu ketika di Institut GPMS, saya diarahkan mencari seorang peserta yang hilang. Cari punya cari rupanya peserta itu disorok di dalam bilik urusetia. Bila kita tengok urusetia yang lain dok tidor cantik je. Rupanya depa nak pekena kita. Memang kita terkena. Tapi pengajaran di sini ialah bagaimana kita bertanggungjawab dan sentiasa berfikir memberi manfaat kepada orang lain. Bila sudah kena batang hidung sendiri kita akan belajar untuk lebih berhati-hati.
Di GPMS, bukan tempatnya untuk bermewah, tetapi mengajar erti kesederhanaan. Tidak mengira perbedaan fahaman ideologi politik, pendidikan dan jawatan di luar sana. Tetapi adalah semangat sukarela yang di tanam bagi membangunkan anak bangsa. Siapa lagi akan bangunkan bangsanya sendiri jika tidak bangsanya. Apabila diterapkan 4 SEDAR, maka baru faham akan perjuangan GPMS yang perlu aku ikuti. Memahami lagu warisan yang ditulis oleh Dr. Nordin Kardi pun sebenarnya memahami erti perjuangan anak bangsa itu sendiri.
Bila berpersatuan, saya dapat rasakan perubahan demi perubahan berlaku ke atas diri saya sendiri. Dari segi saiz badan itu tidak dinafikan lagi tetapi pencambahan fikiran dari komunikasi interpersonal dapat ditingkatkan. Berani untuk mengutarakan apa saja yang terbuku di hati bila ia benar. Tetap akan pendirian saya, dilatih di dalam GPMS. Sebab itu bila ada insan ingin menganggu pendirian, kita mesti berani untuk berkata TIDAK. Bila nak bercerita sebenarnya banyak lagi, lebih-lebih lagi perkara yang menarik iaitu dapat ke luar negara bila berada di atas tiket berpersatuan.

Pengalama pertama ke luar negara pada tahun 2003, ke Maghribi yang mengambil masa hampir 13 jam perjalanan. Pertama kali mestilah rasa kekok. Dengan pelbagai karenah antarabangsanya. Lagi pun kita bukan tahu apa yang perlu di bawa. Tapi pengalaman ini amat berharga sehinggakan kita rasa bersyukur dan cintakan kepada Negara MALAYSIA teramat sangat. Bila di lihatkan negara orang terlalu banyak kekurangan. Maka kenapa perlu kita bercakaran di negara sendiri. Dari Maghribi saya ke London dan Paris. Dua ibu negara ini saya tidak lama, hanya singgah sebentar sahaja. Peluang demi peluang saya dapat yang iaitu untuk mengembara seluruh negara di Malaysia. Tahun 2005, diberi peluang untuk mengikuti Program Intergrasi 3S (Semenanjung, Sabah dan Sarawak). Negeri Sabah dan Sarawak memanglah negeri yang saya tidak pernah pergi ketika itu. Tapi sekarang sudah tidak boleh dikira. Semasa program ini kita dilantik sebagai penghulu peserta. Pengalaman yang tidak boleh saya lupa menangis yang teramat sangat semasa program keluarga angkat di Felda Sungai Sayong, Johor. Entah macam mana air mata laju mengalir di pipi saya, ini kerana berpisah sementara dengan ibu dan ayah angkat di sana. Tapi masa program ini saya sentiasa membuat pertunjukkan silat sebagai persembahan awal. Seronok rasanya, bila dalam keadaan umur sebegini teringatkan masa dulu...

Maka, bila berpersatuan, satu negara demi satu negara saya pergi sebagai wakil badan NGO dan berkongsi pandangan di negara luar. Seperti Cambodia, Palembang, Acheh, Medan, Filipina, China-Beijing, Guang Zhao, Shenzhen dan beberapa negara yang hendak diingat. Ini bukan satu kebanggaan, tapi rasa syukur kepada yang Maha Esa, memberi ruang dan peluang untuk melihat dunia ciptaan Nya. Rasa syukur juga, bila kita berpersatuan sebenarnya mengasah bakat yang terpendam dalam diri. Cerita ini adalah pengkongsian pengalaman blogger kerana ilmu yang dipelajari dalam persatuan tidak boleh dijual beli. Maka, kepada adik-adik yang baru mula berkecimpung dengan dunia persatuan, beri peluang kepada diri untuk menceburi perkara baru yang sukar kita miliki di tempat lain.

Kita akan belajar bagaimana kita ingin merasa sayang kepada pertubuhan dan kepada Negara. Itu yang akan bakal diterapkan apabila rasa cinta dan sayang kepada Negara. Kepuasan berpersatuan akan kita kecapi bila niat murni dan suci ini diterbitkan dengan keikhlasan dalam kita memperjuangkan pertubuhan kita. Mungkin ramai tidak mengetahui apa yang kita lakukan, tapi biarlah Allah saja yang tahu. Ikhlas biarlah kerana Allah bukan kerana simpati manusia. Sebab itu, mesti niat untuk berjuang habis-habisan dan memastikan rakan-rakan seangkatan kita dapat kecapi kejayaan bersama-sama. Slogan GPMS, Belajar Terus Belajar. Kepada pelayar blog ini teruskan usaha untuk memajukan diri, agama, bangsa dan negara....

Nantikan episod ini....

Tuesday, June 15, 2010

Lontaran Pemikiran dari Ilmuwan ...

Salam,

Alhamdulilah, masa yang Allah berikan ini, saya penuhi dengan melontarkan beberapa pandangan yang saya dapati hari ini. Alhamdulilah, saya rasa bersyukur kerana dapat mendengar dari tiga orang Ilmuwan yang hebat hari ini. Jarang saya dapat mendengar serta merenung pandangan yang kecil tetapi berimpak besar. Saya rasa teruja, dan rasa terpanggil ingin menulis di dalam blog ini. Mungkin ramai tidak akan bersetuju, mungkin akan ramai membaca dahulu, yang pasti pelbagai persepsi akan timbul setelah pandangan ini di tulis.

Tiga ilmuwan tersebut iaitu, Moderatornya Prof. Dr. Idris bin Zakaria dari Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Ahli Panelnya 1: Y.bhg Dato' Dr. Ismail dari Institut Islam Hadhari,UKM dan Penceramah yang tidak asing lagi Ustaz Shaykh (Dr) Muhammad Uthman El-Muhammady, International Institute of Islamic Thought Civilization (ISTAC, UIAM). Seminar ini sebenarnya merangkumi pelbagai aspek perbincangan. Menariknya ia sebenarnya menyedarkan saya akan kehebatan ilmu itu mesti ditingkatkan oleh setiap umat Islam.

Saya cuba buat ringkasan atau sinopsis pertemuan dengan ilmuwan yang hebat hari ini pada 15 Jun 2010, jam 11 pagi tadi di Kuala Lumpur.

Setiap orang Melayu dan Islam mesti sayang akan bangsanya sendiri. Dalam kata lain asobiyah kepada bangsanya. Ini dilihat apabila ada rasa sayang kepada bangsanya akan bertambah kuat akan negaranya. Dalam perjuangan Aliff, ba dan ta iaitu agama, bangsa dan negara perlu kita sayang dan cinta yang tinggi. Jika tidak masakan kita mampu membangunkan negara sendiri jika rasa cinta dan sayang kepada bangsa dan negara tidak ada. Rujuk dari kata-kata dari Ibnu Khaldun.

Kedua, Laksamana Hang Tuah merupakan Perkasa Bangsa Melayu yang hebat sepatutnya menjadi contoh kepada orang melayu sekarang. Setia kepada Institusi Raja, setia kepada Bangsanya sehinggakan sanggup berkorban kepada Sultan dan negaranya. Mungkin ramai menyatakan pelbagai pendirian, bagi saya ia mesti dicontohi kerana Hang Tuah mempunyai keupayaan penguasaan Ilmu yang tinggi. Manakan tidak, setiap negara seperti China, Arab dan beberapa negara yang diperginya mampu berinteraksi dengan baik. Di sini boleh lihatkan kehebatan Hang Tuah. Silat merupakan kemahiran mempertahankan diri dan merupakan cabang ilmu yang perlu ada dalam diri setiap individu yang bernama Melayu. Tapi sejauh manakah kesedaran ini? Persoalan ini anda perlu jawab sendiri. Tetapi bukan silat sahaja yang merupakan cabang ilmu banyak lagi yang perlu dipelajari oleh insan yang bernama Melayu.

Perkara yang menarik dalam pengkongsian hari ini saya boleh senaraikan beberapa perkara yang boleh menggalakkan kemantapan aras motivasi :-

1. Kena paksa diri untuk buat baik dan tinggalkan yang tidak baik

2. Perhati diri untuk buat baik dan tinggalkan yang tidak baik

3. Hisab diri apakah keburukan yang telah dilakukan....

4. Hukum diri, sebagai contoh jika datang lambat ke pejabat atau sekolah seperti tambah lagi waktu yang kita lambat. atau apa saja yang boleh kita betulkan.

5. Tambahkan azam dan usaha untuk buat baik dan tinggalkan yang tidak baik

6. Cela diri bila cuai....

Beranikah untuk kita lakukan....

Kita perlu menyemak diri kita perkara yang menjadi ia lemah seperti pepecahan, kelemahan penguasaan ilmu, kelemahan ekonomi dan kurangnya disiplin dalam diri. Persoalannya sekarang adakah kita mampu membawa perubahan dan revolusi pemikiran kita dengan penyatuan umat Islam. Boleh kita berkata, tapi bagaimana kita laksanakan? Ibarat Langit yang biru, lautan yang biru, dan hutan yang menghijau. Ia masih dan tetap satu, kerana saling memerlukan antara satu sama lain. Mana mungkin ia boleh hidup kekal keseorangan, kebergantungan antara satu sama lain menguatkan talinya itu. Fikirkan...

Akhir kata, kita mesti menjadi apa yang kita tahu dan kita mesti menjadi apa yang kita baca...

Fikir, Renung dan pandanglah ...


Monday, June 14, 2010

Redha dengan ketentuan Ilahi...


Salam,

Penulisan ini, ingin memaklumkan saya telahpun melepaskan jawatan Yang Dipertua Penaja sesebuah pertubuhan baru-baru ini. Desakan datang dari pelbagai pihak yang mungkin menyatakan untuk kekal dan sebaliknya. Bagi saya jika ada orang ingin memburuk-burukkan diri kita sehingga pecahan dalaman berlaku baik kita pergi, risaukan mungkin bahana yang lain datang. Ramai tidak faham apa yang terbuku dihati. Saya baru semak facebook saya sendiri, rupanya ada orang sudah mula remove saya dari friendlist dia. Kini kita boleh nampak, sebenarnya sebagai pemimpin kerdil tidak semestinya kita boleh puaskan hati semua orang.

Teguran yang kita lakukan adalah untuk membetulkan keadaan bukannya mencari salah atau menegakkan benang yang basah. Dengan adanya teguran yang BERHIKMAH sepatutnya boleh berlaku sebab beliau berpelajaran tinggi. Tidakkah dia sedar? Tapi apakan daya insan kerdil seperti kita tidak mampu untuk menegur beliau. Tidak menjadi masalah, bila orang sudah tak suka tak apa, tapi tak perlu mengata kita dibelakang. Macam-macam cerita kita dapat, tapi baik diamkan nanti diikutkan hati mati, ikut nafsu buta nanti. Diam sehingga kebenaran akan pasti keluar. Buat pembaca, ini namanya konflik persatuan yang perlu dihadapi sebagai pemimpin. Mungkin ia akan datang bermacam-macam. Jangan campur aduk orang politik dalam pertubuhan rosak nanti. Biar kita ikhlas dan jujur serta telus dalam mengurus tadbir sesebuah pertubuhan.

Bila sebut PENYATUAN, kita perlu faham apakah tujuan penyatuan dan kaedah bagaimana untuk menyatukan. Guru yang ada mesti dihormati serta minta pandangan sebagai guru lama atau orang tua kita. Jadikan panduan, usahlah kita mementingkan keegooan kita semata-mata melihat PENYATUAN itu sebagai tunjang atau objektif pertubuhan. Sedangkan orang sekeliling kecewa atau terguris hatinya disebabkan cuba mencapai objektif yang kita bawa. Kita tidak boleh terlalu emosi dalam mengurus persatuan. Kita perlu menilai secara bijak dan bertindak dari segi maklumat yang kita ada. Jika tiada maklumat cari sehingga dapat.

Teknik memburuk-burukkan orang lain adalah amalan yang tidak begitu sempurna. Kerana kita cuba menyelak kain orang lain, sedangkan kain kita sendiri telah terselak dan lupa untuk menutupnya. Maka, itulah akibatnya bila kita jarang mencari kesilapan diri sendiri sehinggakan kita lupa kita juga mempunyai kesilapan yang sama. Nasihat ini yang pentingnya adalah nasihat untuk diri saya yang kerdil ini. Saya juga mempunyai kesilapan, tetapi kita mesti ada niat untuk memperbaiki dan mempertingkatkan diri beriman dan beramal kepada Allah SWT.

Usaha mencari titik persamaan mesti sentiasa berdoa kepada Allah, berusaha, istiqomah dalam perjuangan dan bertawakkal kepada Allah. Nasihat, jangan memburuk-burukkan orang lain dan sedar kita juga mempunyai kelemahan. Bila ada kelemahan cari lah kekuatan iaitu mendekati diri dengan Allah.


Salam SERANTAU ///

Hijjaz - Kau Sahabat Kau Teman

Pejuang yang tak di dendang


Pejuang bangsa..Datang dan pergi
datang tidak diundang
pergi tak siapa tahu
Yang pasti ia berbakti
Pejuang sentiasa berkobar-berkobar
untuk bangunkan bangsa
tapi mereka bongkar, takabur
menolak pelawaan
Kerna mereka berkata,
Mereka sudah mempunyai segalanya
Kadangkala aku sedih seorang diri
Tanpa teman yang bersama
Kumeratapi tentang perjuangan murni ini
Teman ketawa senang dicari
Teman gundah sukar di cari
Sebagai pejuang bangsa
Kadangkala aku dihina, diherdik
Tak siapa yang tahu
Jaya atau tidak mereka cuma berkata
itulah hasil mereka
Aku bukan mengejar nama,
Pangkat atau darjat
Tapi aku tak ingin bangsaku
terus dihimpit keresahan
ditelan oleh arus perdana
Bangsaku tika mereka sedang nyenyak tidur
Aku berjaga berfikir
Untuk bangunkan bangsa ku,
Tapi bangsaku tidak sedar…
Yang pasti menghina dan mengata
Apa saja yang diperjuangkan…
Sedih dalam hati ini tak siapa tahu…
Hari semakin mendatang,
Pergi dan datang adalah perkara biasa
Aku masih pejuang bangsaku
Yang tidak didendang dalam lagu
Yang tidak didengari mana-mana corong radio...
Hanya Aku dalam Aku...
Terus berjuang tanpa kenal
Erti Susah dan payah...
Yang pasti,
Maju mundur, Kaya miskin Hina mulianya bangsa itu di tangan kita ...

Adakah aku yang bersalah?


Hmm... Gambar ini sebenarnya mengukir seribu kenangan. Pahit jerih yang dihadapi sebenarnya banyak yang teramat sangat. Sebagai pelaksana program selalunya bebanan demi bebanan akan menimpa. Biasalah kita pelaksana maka, banyak lah ragamnya. Sebagai pelaksana tidak pernah beranggapan program yang dilaksanakan akan sempurna. Kita sebagai manusia dan insan biasa tidak lari dari membuat kesilapan. Kesilapan tidak bermakna kita menjadi teruk atau tidak baik tetapi merupakan usaha untuk menjadikan ia lebih baik dari sebelum ini.

Sebab itu, kita mesti sentiasa mencari dan terus mencari ilmu selagi hayat dikandung badan selagi mana jasad dan roh masih bernyawa kita mesti teruskan pencarian ilmu ini. Mencari ilmu itu penting. Tapi dalam kita mencari ilmu, setiap manusia sering mencari salah dan menjadi sempadan kepada pencarian tersebut. Program demi program kita lakukan. Sebenarnya setiap program kita akan mempelajari satu lagi ilmu yang mungkin kita tidak pernah tempuhi. Sebab itu, keinginan dan sentiasa berharap kepada Allah SWT merupakan nadi yang paling utama.

Dalam Kursus Perkaderan yang lalu, ada beberapa isu yang menjadi persoalan di luar sana. Adakah kursus ini teruk sangat? Adakah ia tidak memberi kesan? Sebenarnya gambaran ini adalah persepsi yang dibina oleh individu tertentu agar tidak mahu dengan berpersatuan. Apa boleh kita katakan, sudah menolak nak dipaksa takut nanti memberontak secara diam. Maka dibiarkan dan dibiarkan tanpa ada yang menghalangnya.

Para peserta sentiasa mengungkapkan perubahan. Tapi sejauh manakah perubahan yang ingin dilakarkan. Jika keinginan untuk perubahan mesti didorong dengan semangat yang kuat dan tinggi. Usah kita berkata saja "AKU NAK BERUBAH", tapi mesti kotakan apa yang dikata. Niat untuk berubah mesti kena ada DUIT.
Iaitu Doa, Usaha, Istiqamah dan Tawakkal. Setelah diperhatikan perkara ini adalah elemen penting dalam menjana perubahan minda, emosi, jasmani dan rohani. Tapi kadangkala kita dipersalahkan kerana kita buat anak murid depa jadi takut dengan program. Sedangkan perasaan itu mereka yang bina menjadi lebih takut dan jauh dari sesuatu pertubuhan itu. Adakah kita berani untuk membawa perubahan dengan kesusahan demi kesusahan kita hadapi? Mungkinkah kita berani untuk menempuhi satu kesusahan diluar sana.

Kita dikatakan menakut-nakutkan peserta. Sedangkan usaha dunia diluar sana, akan pasti lebih mencabar dan lebih hebat lagi ancamannya. Bagaimanakah kita nak anak bangsa kita yang akan datang berhadapan dengan dunia luar. Memang benar, semua orang memberi penekanan motivasi yang tinggi, sedangkan sejauh manakah ia berkesan. Pernah kadangkala ayat berbunyi, "Aku dah lama dalam persatuan, ko tu baru", "Aku lagi lama, eloknya ko tu baru lagi". Adakah itu yang kita banggakan. Dengan memberi pengiktirafan kepada diri sendiri, bak kata pepatah, "angkat bakul sendiri". Hmm.. hairan bin ajaib, ramai yang mengaku sebegitu, tapi sejauh manakah kemampuan mereka?

Mungkin cerita adakah aku bersalah, akan disiarkan lagi dalam episod Pak Pandir dengan anak-anaknya. Mungkin boleh dikongsi bersama sebagai pengajaran.

Sunday, June 13, 2010

K I S A J


Salam,

Cuma ingin berkongsi ilmu di dalam blog ini... saya dapat maklumat ini dari seorang yang saya hormati iaitu Dr. Khairuddin semasa menjadi panel Anugerah Belia Negara 2010. Semasa perjalanan ini, banyak perkara yang saya pelajari. Maka saya pelajari secara terus dari individu yang bakal saya jumpa. Jarang dalam ilmu secara terus ini. Di bawah ini adalah maklumat yang ingin saya kongsi, boleh diterima atau dibiarkan atau buat tak tahu saja...

K - Khalifah, semua manusia dijadikan sebagai pemimpin. Sedar atau tidak kita yang tahu
I - Iqra / Ilmu - Semua insan dan pemimpin mesti memiliki ilmu ini untuk mempertingkatkan ilmu di dada.
S - Salam / Mengambil tahu - Sebagai insan dan pemimpin kita kena sentiasa mengambil tahu dan memberi salam. Sebarkan salam keseluruhan umat yang ada di dunia ini. Baik Melayu, Cina dan India kita mesti memberi salam.. seperti Assalamualaikum, Selamat Pagi, Salam Sejahtera, Good Morning apa saja yang baik.. tapi adakah kita lakukan?
A - Azan / Seru - Azan yang kita dengari selalu adalah menandakan sudah masuk waktu solat dan mengajar semua insan yang beriman untuk solat. Sama juga konsep yang digunakan iaitu mengajak manusia ke arah kebaikan. Tetapi seberapa ramaikah yang ingin melaksanakan tugasan tersebut...
J- Jemaah - Bergerak dalam satu organisasi yang kuat, hati yang tulus suci tanpa ada iri hati.. mampukah kita?

Persoalan ini timbul apabila disekeliling saya didatangi beberapa perkara yang mungkin kusut dan sedang saya mencari jalan penyelesaian. Nak mencari? Perlukan akal yang panjang dan tenang. Selalu saya kata pada diri, tenang, tenang, tenang. Macam-macam perkara berlaku yang sukar untuk kita duga. Yang pastinya gerak hati mesti kuat untuk hadapi semua perkara ini.

Ramai yang menyangka mereka itu kuat, sedangkan bukan kuat yang dicari, tetapi ketenangan dan kekuatan iman yang dicari. Adakah bila kita berkuasa akan menyebabkan ramai orang yang akan dikecewakan? Menjadi pemimpin tak semestinya akan memuaskan hati semua orang. Sebab bukan semua orang akan puas apa yang kita lakukan serta tindakan yang bakal kita laksanakan. Hampir 17 tahun berkecimpung dalam dunia persatuan banyak yang saya lihat kekuatan dan kelemahan. Kadangkala kita sangka kita mampu, tapi orang lain pula lihat kita tidak mampu. Mereka kata depan lain, tapi belakang lain pula yang dikata. Kadangkala kita terpaksa berhati-hati. Kerana risaukan bila kita katakan itu jadi salah.

Apapun, kita mesti sentiasa berhati-hati dengan kata dan tindak laku. Kerana mungkin orang lain akan salah faham apa maksud yang ingin kita sampaikan. Walaupun ia benar, orang mungkin salah faham maksud yang ingin kita sampaikan. Saya juga ada kesilapan dan bukan insan yang sempurna untuk membina mahligai yang indah, tapi kita berusaha membina sesuatu yang rasa ia mungkin dapat dilaksanakan dengan usaha yang kecil ini...

fikir-fikirkan...

Sengaja...

Salam,

"gebar senja pemisah siang,
larut malam bintang beribu,
embun menitis dihujung daun,
melangkas deras lari si kijang,
membuka jalan arah nan satu,
tidak tersekat hutan merimbun."

"negeri kemarau panas membara,
keringlah sudah air dikali,
walau nyawa dihujung senjata,
untuk menyerah tidak sekali."

"awan gemulung ditolak bayu,
angkasa merah dinoda darah,
berpusar angin keliling aku,
menghembus kencang dengan perintah."

"dari dalam menjalar sulur,
memaut batu pecah berderai,
dari dalam geraknya mengembur,
memaut tubuh julang mengapai."

"panas ditempa pahatan waja,
sejuk membeku sedingin embun,
tidak tunduk menghadap raja,
teguh berdiri tidak diampun."

"mengalir jauh turun ke muara,
turun laksana bulan diriba,
membawa kasih dihati sang wira,
langkahnya satu belenggu sengsara."

"mencari takdir telah tersurat,
mengapai-gapai tidak terlihat,
teruskan langkah berpandu firasat,
keluarlah tuan bertemu alamat."

"tiada taranya gemilang mentari,
sinari jiwa membangkit seri,
walaupun hujan turun di hati,
merdunya suara empunya diri,
meruntun hamba membawa ke mari,
apakah tujuan diri dinanti???

"merah garis jangan dijauhi,
bukan darah dendam dan geram,
akibat pincang cintanya suri,
takdir tertulis kehendak ilahi,
keris sebilah membawa suram,
akan menggoncang banyak negeri."

"kerana cinta.... segala rasa,
tiada kurnia sehebat ia,
biar lemas dilambung gelora,
biar hangus dibakar pawaka,
terus kekal ke hujung dunia,
selagi adanya cinta."

"sekian lama menghilang diri,
jiwa merana lara sanubari,
kerana dendam sumpah diberi,
semangat tegap tunjang berdiri."

"kilauan sakti tonggak beribu,
sinar gemilang kota jajahan,
cindai ditabir lembut kekabu,
keras disulam tunjang penyerahan."

"terbang tinggi sampai ke awan,
lebar sayap membayang bumi,
melindungi takhta payung mahkota,
tidakkan gentar musuh dilawan,
helang kencana menabur bakti,
pada Dasyuria sumpah dikota."

"sambunglah mimpimu,
ke alam seberang awan,
moga bercucuran keatasmu,
rahmat limpah tuhan.

bonda akan menanti,
ayahanda sentiasa menunggu,
bila celik matamu nanti,
ditimang putera sayangku."

"dari dalam menjalar sulur,
memaut batu pecah berderai,
dari dalam geraknya menggembur,
memaut tubuh julang mengapai."

"hancur hatinya penuh sengsara,
mengangkat jasad cinta terlara,
berhembus angin dari utara,
membawa bersama dua bentara,"

"bagaikan puteri tidur lena,
tenang wajahnya bulan laksana,
dua bentara sedih merana,
melihat nafisha ditimpa bencana."

"pemusnah jiwa diam memberi,
dua bentara sedia menanti,
lalu dibawa kasihnya pergi,
kampung kaswana tempat semadi....