Sunday, August 29, 2010

Anak muda perlu bimbingan...


Salam Ukhwah,

Usia muda adalah usia transisi ke arah menjadi insan matang dan stabil. Dalam usia ini, belia perlukan ransangan, bimbingan, kepercayaan dan kerjasama yang mapan daripada golongan masyarakat dewasa serta golongan yang bertanggungjawab ke atas belia. Tanpa sokongan, dorongan itu, belia gagal mengemudi segala kekuatan, ketangkasan, dan keistimewaan yang mereka miliki dalam usia ini. Masyarakat dewasa sewajarnya lebih prihatin pada segala keperluan dan perkara yang diperlukan oleh golongan belia. Allah memuji kehebatan belia melalui hadis Nabi yang bermaksud :- “Telah takjub Tuhanmu dari seorang pemuda yang tiada pincang pemikirannya” Allah memuji belia yang dapat memelihara mindanya daripada keadaan masyarakat yang pincang dan rosak dengan kata-kata indah.

Belia yang patuh dan mengabdikan diri kepada Allah secara konsisten dalam apa jua keadaan, tidak terkesan dengan suasana rosak yang melanda sekelilingnya. Mereka sentiasa berusaha ke arah hidup yang sempurna dalam usaha memikul tanggungjawab sebagai khalifah Allah di muka bumi ini. Mereka sedar dan cakna ini adalah hidup sementara dan akhirat adalah hidup yang kekal abadi. Dalam usia belia generasi ini dikelilingi dengan pelbagai hambatan positif dan negatif.

Mereka perlukan ibu dan ayah yang melentur jiwa mereka dengan melazimkan tingkah laku membina kendiri positif, mendekati dengan kasih sayang, menjadikan mereka sebagai sahabat dan mendidik mereka dengan sifat matang. Ibu bapa juga perlu merancang dan menyusun strategi bergaul seharian di rumah yang konsisten supaya mereka dapat dibekalkan dengan persediaan yang sempurna bagi memikul amanah dan tanggungjawab sebagai belia yang berdikari. Dengan itu, belia juga tidak tertipu dengan ranjau kehidupan dan liku-likunya yang membinggungkan dan mempunyai daya tahan dan kekuatan menolak segala propaganda negatif yang mungkar dan keji.

Dengan keberkatan ibu bapa yang soleh kehidupan belia sentiasa diiiringi dengan doa dan pengharapan yang dapat membantu turunnya pertolongan Allah. Belia perlukan pendidik yang menjiwai masalah mereka, sentiasa memberi motivasi, nasihat dan bimbingan yang tidak mengenal erti jemu dan bosan. Ilmu yang disampaikan perlu sesuai dan memenuhi keperluan hidup di dunia dan akhirat. Pendidik juga perlu menjadikan diri sebagai model kehidupan cemerlang dan profesional. Belia perlukan masyarakat yang prihatin pada perkembangan dan tumbesaran mereka.

Mereka perlukan masyarakat yang menganggap diri mereka seperti keluarga dan darah daging anggota masyarakat itu sendiri. Apabila mereka tersilap jalan dan tergelincir daripada landasan kebaikan dan ketaatan, mereka perlukan bantuan dan bimbingan. Mereka tidak boleh dipinggirkan dan dipandang hina sepanjang masa dan ketika. Belia perlukan pemimpin cakna dan bijaksana yang mengundang rahmat Allah kepada belia, masyarakat dan penghuni alam maya ini dengan membangunkan nilai keinsanan mengatasi nilai kebendaan. Pemimpin begini lebih mengutamakan program membangunkan insan dan sifat keinsanan daripada menyusun strategi dan memperkasa peranan yang dapat dimainkan oleh golongan belia pada peringkat desa, bandar, negeri, negara dan antarabangsa.

SETIAP INDIVIDU PERLU MEMANTAPKAN KUALITI JATI DIRI Perubahan dan peningkatan yang mengangkat kualiti jatidiri individu berlaku apabila mereka ada kemahuan dan keazaman. Tanpa niat, kemahuan, keazaman serta usaha yang digembleng, tunas perubahan tidak berputik. Di sini saya ingin memberi beberapa cadangan bagi belia memantapkan kualiti jati dirinya :-

1. Setiap individu perlu mengubah cara berfikir dan bertindak arah positif

2. Setiap individu perlu berniat dan berusaha mengubah diri mereka kerana Allah tidak mengubah diri individu itu selagi individu tidak mahu mengubah dirinya sendiri.

3. Rasionalnya diri apabila membuat keputusan, jangan menyalahkan sebelah pihak sahaja, bahkan sama-sama mencari penyelesaiannya.

4. Hormati orang tua dan sayangi kanak-kanak serta muliakan para ulama supaya diri terpimpin ke arah kebaikan

5. Sentiasa berusaha mewujudkan persekitaran positif dan mencari sahabat yang baik

6. Sentiasa ada hubungan dengan masjid

7. Sentiasa muhasabah diri (memeriksa diri sendiri berkenaan apa yang sudah dilakukan)

8. Melibatkan diri dengan kerja-kerja masyarakat Peranan Ibu Bapa Semua ibu bapa di dunia ini mempunyai hasrat dan kemahuan menjadi ibu bapa cemerlang, tetapi pengalaman membuktikan banyak ibu bapa merasakan prestasi mereka sebagai ibu dan bapa tidak cemerlang sebagaimana yang diharapkan. Ibu bapa sepatutnya dapat memainkan pelbagai peranan bagi membentuk disiplin dan peribadi anak-anak. Ibu bapa yang gagal melaksanakan tanggungjawabnya dengan sempurna, melahirkan generasi yang pincang sahsiahnya.

Pepatah Melayu ada menyatakan, “melentur buluh biarlah dari rebungnya.” Anak-anak adalah amanah Allah yang besar dan diletakkan ke atas bahu ibu bapa. Amanah ini akan dipersoalkan oleh Allah di kemudian hari. Di sini saya ada beberapa cadangan yang boleh dikongsi atas dasar pemerhatian saya selama bepersatuan :-

a. Ibu bapa sebagai role model kepada anak-anak mereka

b. Ibu bapa perlu mendidik anak dengan penuh kasih sayang, adab sopan dan bersikap jujur. C

. Ibu bapa bertanggungjawab memastikan belia memiliki asas pendidikan agama dan akhlak yang sempurna sebagai bekalan hidup seharian

d. Ibu bapa perlu mengamalkan sikap terbuka dan meluangkan masa berbincang dan berbual-bual dengan anak-anak

e. Anak-anak perlu dilibatkan dalam aktiviti harian keluarga dan pengorbanan mereka perlu dihargai walaupun kecil supaya mereka rasa diperlukan oleh keluarga.

f. Terima pandangan anak yang difikirkan perlu dan libatkan mereka dalam perbincangan yang difikirkan sesuai.

g. Keperluan asas yang difikirkan penting disediakan dalam keadaan termampu. Peranan Masyarakat Institusi Islam bersifat umum dan menyeluruh. Ia adalah institusi sendiri dan bebas dari sistem-sistem lain. Bukanlah menjadi perkara baru apabila Islam mewajibkan masyarakat berasaskan kefahaman Islam. Oleh demikian, masyarakat perlu dikawal oleh syariat Islam. Syariat membawa masyarakat kepada akidah yang sama serta menggariskan ciri-ciri akhlak yang memelihara umat manusia dari berpecah, berbalah, fahaman permisif atau pergolakan yang tidak terpimpin dan akhirnya menjadi masyarakat tidak berperaturan. Bagi membina masyarakat kental dan bersatu serta prihatin pada setiap perkara yang berlaku, Islam menegaskan supaya keadilan dilaksanakan dalam segala aspek dan keadaan.

Dalam Islam, masyarakat dibentuk bukan berdasarkan kulit, bangsa, bahasa dan keturunan. Ia berdasarkan konsep iman, amal dan takwa yang dibentuk dalam hidup individu masyarakat. Saya ada beberapa cadangan untuk saranan bagi setiap lapisan masyarakat bagi memartabatkan potensi belia :-

a. Masyarakat perlu lebih peka apabila menangani budaya negatif

b. Masyarakat perlu beri sokongan moral dan material kepada golongan belia bagi kerja-kerja amal

c. Masyarakat perlu bersungguh-sungguh melibatkan diri apabila diperlukan oleh golongan belia

d. Memasyarakatkan belia dalam aktiviti-aktiviti yang diadakan supaya mereka rasa dihargai dan diperlukan

e. Tegur golongan belia dengan cara profesional tanpa ada kepentingan diri

f. Lapangkan masa supaya dapat bergaul dengan golongan belia

g. Jangan merendah-rendahkan dan membunuh semangat belia tetapi suburkan supaya ia terus bercambah

h. Sentiasa memberi dorongan dan peluang supaya belia memperbaiki tanggungjawabnya dalam apa bidang sekali pun.

Peranan Media Massa Media massa berperanan penting menyalurkan maklumat kepada masyarakat kerana masyarakat kerana ia dapat mempengaruhi dan memberi impak yang besar bagi mewarnakan gagasan kemanusiaan. Dengan peranan media massa, masyarakat sa,a ada yang tinggal jauh, dekat ataupun di mana sahaja, dapat menerima maklumat dengan pantas. Maklumat dan mesej media massa ini dihasilkan dalam bentuk berita yang mudah difahami oleh khalayak.

Maklumat berbentuk berita ini pula disalurkan melalui media elektronik dan media cetak. Berita melalui media elektronik adalah cepat disampaikan kepada khalayak berbanding media cetak. Contoh media elektronik adalah radio, televisyen dan internet. Media elektronik berupaya merentasi benua dan negara yang tidak mungkin dapat dilakukan oleh media lain.

Bagi memastikan peranan media massa ini dapat dikawal dan mempunyai nilai positif yang dapat membina masyarakat dan belia ke arah kebaikan maka ianya perlu mempunyai ciri-ciri sebagaimana yang dinyatakan seperti :-

a. Mendidik pembaca khususnya belia supaya bertanggungjawab mencegah segala bentuk gejala negatif

b. Mengajar pembaca dan belia menghindarkan diri daripada gejala negatif

c. Memperbanyakkan pengisian yang mengisi minda ke arah rohani, jasmani, akal dan emosi yang stabil.

d. Memastikan sistem pendidikan terancang dan berkesan sama ada jangka pendek atau jangka panjang melalui media massa.

Peranan Belia yang mendapat Pendidikan Tinggi

1. Mewujudkan program pembimbing rakan sebaya (PRS)

2. Merancang program bermanfaat untuk belia di waktu cuti

3. Sentiasa bergaul dan beramah mesra dengan golongan belia yang tidak berpeluang mendapat pendidikan tinggi di IPT.

4. Menjadikan diri sebagai role model

5. Menanamkan sifat ithar(mengutamakan saudara seagama lebih daripada diri sendiri ketika diperlukan)

6. Melakukan apa jua perkara semata-mata kerana Allah dan bukan disebabkan pangkat, material dan lain-lain merosakkan amalan. Peranan Masjid atau Surau Masjid adalah hati dan jantung bagi penduduk kampung ataupun taman perumahan.

Apabila masjid dihidupkan dengan amalan agama seperti solat berjemaah, bacaan Al-Quran, huraian hadis, zikir, kelas pengajian, mesyuarat, kelas bimbingan fardu ain, khidmat kebersihan, gotong royong, tempat masyarakat Islam bertemu mahupun khidmat perundingan masyarakat dan beroperasi selama 24 jam, insya-Allah kita dapat melihat suasana tenteram, damai, ukhuwah, berkat dan segala yang baik terpancar dalam masyarakat itu.

Saya ingin mencadangkan beberapa bentuk amalan masjid yang difikirkan perlu diwujudkan di setiap masjid bagi memastikan masjid berfungsi sepenuhnya. Cadangan adalah seperti :-

a. Peranan masjid diperluaskan dan diperjelaskan kepada belia dan masyarakat

b. Perpustakaan mini yang terancang dan terkawal serta sentiasa beroperasi disediakan

c. Perpustakaan perlu dipenuhi buku yang sesuai dengan keperluan belia dan masyarakat

d. Aktiviti masjid yang tidak bertentangan dengan syarak diperbanyakkan dan dipelbagaikan mengikut peredaran semasa

e. Pusat rawatan bagi keperluan masyarakat Islam setempat dan masyarakat umum yang lebih berbentuk kerja sukarela serta amal jariah diwujudkan

f. Risalah percuma menyentuh pelbagai disiplin ilmu diperbanyakkan bagi meningkatkan pengetahuan masyarakat

g. Mengimarah masjid atau memakmurkannya 24 jam

h. Kemudahan asas yang lengkap seperti bilik mandi, bilik salin pakaian, pejabat, telefon, dapur dan tempat istirehat disediakan

i. Kemudahan tetamu yang datang dari jauh seperti tempat rehat, minuman dan makanan ringat disediakan

j. Ahli jawatankuasa yang aktif dan inovatif

k. Dana khas bagi menampung segala aktiviti masjid yang dilaksanakan diwujudkan

l. Program rakan masjid bagi golongan belia dengan jadual terancang diwujudkan

m. Suasana amalan berterusan melalui mesyuarat harian diwujudkan. Sudah masanya belia bangkit dan menyedari segala keperluan yang perlu disempurnakan sebagai khalifah Allah di muka bumi ini. Apabila belia bangkit dengan kekuatan iman, ilmu, fizikal, emosi dan kekuatan lain yang diperlukan.

Insya-Allah dunia menjadi damai, makmur, stabil dan hidayah Allah tersebar di seluruh pelosok rantau. Belia masa kini wajar menyingkap kembali teori dan pratikal yang dibuktikan oleh golongan awal Islam ini bagi mengangkat kembali martabat mereka di persada dunia. Apabila golongan belia tidak dibimbing dan dipandu, mereka gagal melayari hidup yang bertujuan memartabatkan diri sebagai insan cemerlang di dunia dan akhirat. Bagi menjadi belia berjaya, unggul dan cemerlang hari ini memerlukan keyakinan bersandarkan pada iman yang utuh kepada Allah dan rasul-Nya, ilmu bermanfaat yang dipertingkatkan, perubahan sifat, prihatin pada positif dan disiplin diri yang tinggi serta konsisten apabila melaksanakan perkara yang baik. Maju mundur, kaya miskin, hina mulianya bangsa itu adalah di tangan belia hari ini……

Ulama dimuliakan, yang tua dihormati, muda dibimbing, kanak-kanak di sayangi....



Gambar ini semasa blogger berada di Kg. MengkabungTembiluk Buansa, Tuaran Sabah.

Salam,

Tajuk kali ini saya cuba bawakan sebagai renungan bersama, dimana kita sentiasa berhadapan orang yang alim. Orang yang mempunyai daya ilmu yang tinggi dari kita. Mungkin satu hari kita akan bertemu lebih dari seorang untuk pastikan ilmu itu kita dapat. Jarang sekali kita tidak bertemu dengan orang seperti ini. Selalu orang yang menaip, sebenarnya nasihat ini untuk blogger yang menulis. Jika ada yang membaca terasa untuk bersama kita alu-alukan. Ulama selalunya kita fokus kepada mereka yang alim akan ilmu agama. Bagi saya, ia tidak terhad kepada mereka yang alim akan ilmu agama tetapi mereka merupakan insan yang mempunyai daya ilmu yang tinggi. Tidak salah kita memuliakan. Sebagai anak murid, kita perlu mendekati, memuliakan selagi mana ajaran Islam tidak kita langgari. Adakah salah kita memuliakan? Tepuk dada tanya selera. Sejak-sejak akhir ini, kita lihat semakin ramai yang tidak sayang kepada guru mereka. Mana tidaknya guru yang selama ini kita sanjung kita biarkan dan tidak jalinkan hubungan yang baik sebelum ini. Saya lihat setelah pertemuan Old Boys yang lalu menemukan beberapa kawan-kawan yang semakin hebat hari ini. Saya lihat mereka masih sayangkan guru untuk pastikan hubungan dengan guru tidak terhenti disitu sahaja tapi hubungan akrab yang penting diteruskan.

Saya amat teruja dengan semangat kawan-kawan seperti itu, yang masih lagi ada rasa hormat pada guru walaupun guru tersebut pernah mengecilkan hati sahabat saya itu. Bila bertanya apakah resipi terbaik bila ada konflik ini, sahabat saya selamba sahaja jawab, ikut rentak dan jangan melawan. Bila difikir mungkin ada benarnya. Kadangkala guru kita mempunyai lontaran pemikiran yang berbeza dengan kita. Sebab itu, kita harus mengikut rentak yang dimainkan oleh guru kita pada masa yang sama kita juga menyusun rentak agar kita boleh membina hubungan yang baik. Tapi selalunya bila kita berhadapan dengan konflik kita selalu memastikan ego kita di hadapan dan konfrontasi merupakan elemen terpenting untuk memastikan lawan dan kawan akan berbalah. Guru saya berpesan, bila ada dua kelompok sedang berbalah, yang memerhati wajib meleraikan. Dengan memuliakan guru, kita perlu hormati mereka ini. Mungkin selalu kita terguris tapi kadangkala pengorbanan itu satu penyeksaan dari penantian yang lama. Perit ini telah saya lalui dan menggunakan resipi yang sama. Belajar dari orang yang alim... itulah yang saya dapat.

Bila jumpa orang yang lebih tua, seharusnya kita hormati. Jika kita ada rasa tidak suka sekali pun yang pastinya kita perlu hormati. Dalam Islam digalakkan bersangka baik dengan sesiapapun. Tapi amalan ini sukar kita ikuti. Walaupun kita mengatakan kita mengikut sunnah Rasullulah S.A.W. tapi perkara menghormati orang tua sukar untuk ikuti. Ada satu kisah ketika zaman Rasullulah di mana jiran Nabi Muhammad ketika sentiasa membuang sampah ke rumah Nabi Muhammad. Tapi Nabi Muhammad sabar berhadapan dengan jirannya. Sehingga ketika jiran tersebut tidak membuang sampah ke rumah Nabi Muhammad, Nabi bertindak menziarahi jiran tersebut, sehingga jiran tersebut memeluk Islam. Nabi Muhammad mempunyai taraf yang tinggi tapi kita ini sebagai manusia biasa tidak mampukah kita menziarahi orang yang ada masalah dengan kita? Tepuk dada tanya Iman.

Orang muda, selalu ikut darah amarahnya. Kadangkala yang kecil rasa besar, besar rasa kecil dan sebaliknya. Kita tidak sedar bahawa sebagai orang muda mesti mempertingkatkan ilmu agar kita disegani dengan memiliki ilmu yang boleh dimanfaatkan oleh orang lain. Tapi sedarkah kita, dalam memperoleh ilmu kita mesti mendapat tunjuk ajar dari orang yang alim? Adakah kita berbangga apa yang kita miliki hari ini? Maka kita bermuhasabah apa yang kita kecapi ini adakah kita perolehi tanpa bantuan orang lain. Mustahil semua dengan bantuan orang lain dengan izin Allah.

Penulisan ini sekadar renungan bersama. Bukan nak cari salah atau menunjukkan kesalahan sesiapa. Saya juga manusia yang mempunyai kesilapan mungkin sama, tapi kita sama-sama perbaiki. Jika alim Ulama' kita tidak muliakan, yang tua tidak dihormati apa lagi yang kita ada. Kita sebagai manusia mempunyai kelemahan dan mesti membentuk kekuatan yang ada sekarang dengan bermohon kepada Allah. Maka bermuhasabah diri untuk membentuk sikap yang lebih profesional dalam kita berhadapan konflik. Kita sudah dewasa dan memahami apa yang berlaku disekeliling.

Ingat, Keris yang kita pegang jangan kasi orang lain rampas... Pertahankan dan belajar lah ilmu seni KERIS PUSAKA BANGSA...

Sunday, August 15, 2010

Sunnah Berjuang

Salam...



Sudah sunnah orang berjuang

Menggembara dan berkelana

Miskin dan papa jadi tradisi

Berenggang dengan anak dan isteri



Biasanya Para pejuang

Rumah mereka merata-rata

Rezekinya tidak menentu

Tidur baringnya tak berwaktu



Orang lain membuat harta, Tapi dia, membuangnya

Orang lain kawan terbatas, Tapi pejuang kawan merata



Orang lain musuhnya kurang

Pejuang musuh tidak terbilang



Sudah Sunnah orang berjuang,

Menggembara dan berkelana

Miskin dan papa jadi tradisi

Berenggang dengan anak dan isteri



Tidak kurang yang sayang padanya

Orang lain mati dilupa

Para pejuang tetap dikenang

Sejarahnya ditulis orang

Makamnya sentiasa diziarahi

Perjuangan tetap diingati.

Tuesday, August 3, 2010

G A Y O N G

Gambar Kursus Seni Tempur tangan kosong... Di tengan Gurulatih Utama, Cikgu Mohd Amin Hamzah.

Tempur Puteri

Tempur Putera dari SMK Sultan Abdul Jalil... Mereka berkali-kali diratah oleh Jurulatih kanan... kesian depa nie...

Semua gambar ini merupakan pilihan blogger. Tengokkan keadaan jika rajin akan dimuat naikkan dalam blog ini. Jika tiada al-maklumlah, keadaan yang mungkin sibuk. Apa-apa pun terima kasih kerana sudi hadir untuk bersama menjayakan kursus tempur tangan kosong. Jika tak tahu kita bertanya pada yang tahu, jika tak tahu jangan kita sombong dan bongkar. Ilmu dalam diri kita ibarat setitis air di lautan, maka carilah ilmu walaupun kita pergia jauh merantau...

Fikir-fikirkanlah...