Sunday, August 29, 2010

Ulama dimuliakan, yang tua dihormati, muda dibimbing, kanak-kanak di sayangi....



Gambar ini semasa blogger berada di Kg. MengkabungTembiluk Buansa, Tuaran Sabah.

Salam,

Tajuk kali ini saya cuba bawakan sebagai renungan bersama, dimana kita sentiasa berhadapan orang yang alim. Orang yang mempunyai daya ilmu yang tinggi dari kita. Mungkin satu hari kita akan bertemu lebih dari seorang untuk pastikan ilmu itu kita dapat. Jarang sekali kita tidak bertemu dengan orang seperti ini. Selalu orang yang menaip, sebenarnya nasihat ini untuk blogger yang menulis. Jika ada yang membaca terasa untuk bersama kita alu-alukan. Ulama selalunya kita fokus kepada mereka yang alim akan ilmu agama. Bagi saya, ia tidak terhad kepada mereka yang alim akan ilmu agama tetapi mereka merupakan insan yang mempunyai daya ilmu yang tinggi. Tidak salah kita memuliakan. Sebagai anak murid, kita perlu mendekati, memuliakan selagi mana ajaran Islam tidak kita langgari. Adakah salah kita memuliakan? Tepuk dada tanya selera. Sejak-sejak akhir ini, kita lihat semakin ramai yang tidak sayang kepada guru mereka. Mana tidaknya guru yang selama ini kita sanjung kita biarkan dan tidak jalinkan hubungan yang baik sebelum ini. Saya lihat setelah pertemuan Old Boys yang lalu menemukan beberapa kawan-kawan yang semakin hebat hari ini. Saya lihat mereka masih sayangkan guru untuk pastikan hubungan dengan guru tidak terhenti disitu sahaja tapi hubungan akrab yang penting diteruskan.

Saya amat teruja dengan semangat kawan-kawan seperti itu, yang masih lagi ada rasa hormat pada guru walaupun guru tersebut pernah mengecilkan hati sahabat saya itu. Bila bertanya apakah resipi terbaik bila ada konflik ini, sahabat saya selamba sahaja jawab, ikut rentak dan jangan melawan. Bila difikir mungkin ada benarnya. Kadangkala guru kita mempunyai lontaran pemikiran yang berbeza dengan kita. Sebab itu, kita harus mengikut rentak yang dimainkan oleh guru kita pada masa yang sama kita juga menyusun rentak agar kita boleh membina hubungan yang baik. Tapi selalunya bila kita berhadapan dengan konflik kita selalu memastikan ego kita di hadapan dan konfrontasi merupakan elemen terpenting untuk memastikan lawan dan kawan akan berbalah. Guru saya berpesan, bila ada dua kelompok sedang berbalah, yang memerhati wajib meleraikan. Dengan memuliakan guru, kita perlu hormati mereka ini. Mungkin selalu kita terguris tapi kadangkala pengorbanan itu satu penyeksaan dari penantian yang lama. Perit ini telah saya lalui dan menggunakan resipi yang sama. Belajar dari orang yang alim... itulah yang saya dapat.

Bila jumpa orang yang lebih tua, seharusnya kita hormati. Jika kita ada rasa tidak suka sekali pun yang pastinya kita perlu hormati. Dalam Islam digalakkan bersangka baik dengan sesiapapun. Tapi amalan ini sukar kita ikuti. Walaupun kita mengatakan kita mengikut sunnah Rasullulah S.A.W. tapi perkara menghormati orang tua sukar untuk ikuti. Ada satu kisah ketika zaman Rasullulah di mana jiran Nabi Muhammad ketika sentiasa membuang sampah ke rumah Nabi Muhammad. Tapi Nabi Muhammad sabar berhadapan dengan jirannya. Sehingga ketika jiran tersebut tidak membuang sampah ke rumah Nabi Muhammad, Nabi bertindak menziarahi jiran tersebut, sehingga jiran tersebut memeluk Islam. Nabi Muhammad mempunyai taraf yang tinggi tapi kita ini sebagai manusia biasa tidak mampukah kita menziarahi orang yang ada masalah dengan kita? Tepuk dada tanya Iman.

Orang muda, selalu ikut darah amarahnya. Kadangkala yang kecil rasa besar, besar rasa kecil dan sebaliknya. Kita tidak sedar bahawa sebagai orang muda mesti mempertingkatkan ilmu agar kita disegani dengan memiliki ilmu yang boleh dimanfaatkan oleh orang lain. Tapi sedarkah kita, dalam memperoleh ilmu kita mesti mendapat tunjuk ajar dari orang yang alim? Adakah kita berbangga apa yang kita miliki hari ini? Maka kita bermuhasabah apa yang kita kecapi ini adakah kita perolehi tanpa bantuan orang lain. Mustahil semua dengan bantuan orang lain dengan izin Allah.

Penulisan ini sekadar renungan bersama. Bukan nak cari salah atau menunjukkan kesalahan sesiapa. Saya juga manusia yang mempunyai kesilapan mungkin sama, tapi kita sama-sama perbaiki. Jika alim Ulama' kita tidak muliakan, yang tua tidak dihormati apa lagi yang kita ada. Kita sebagai manusia mempunyai kelemahan dan mesti membentuk kekuatan yang ada sekarang dengan bermohon kepada Allah. Maka bermuhasabah diri untuk membentuk sikap yang lebih profesional dalam kita berhadapan konflik. Kita sudah dewasa dan memahami apa yang berlaku disekeliling.

Ingat, Keris yang kita pegang jangan kasi orang lain rampas... Pertahankan dan belajar lah ilmu seni KERIS PUSAKA BANGSA...

No comments:

Post a Comment