Sunday, October 31, 2010
KEM BINA REMAJA 2010 - BAGI MEREKA ...
Kem Bina Remaja baru saja berlangsung semalam. Ingatkan tiga hari ini macam lama. Tapi sekejap saja. Ibarat sekelip mata saja...
Wednesday, October 27, 2010
GELOMBANG SAUJANA
Menggerakkan sesuatu yang tidak mungkin, itulah yang menjadi penghalang utama dalam diri kita. Seringkali perkataan 'tak boleh' atau perkataan yang menunjukkan tidak mahu kita ungkapkan. Penulisan ini menjuruskan kepada perkara yang baik. Kita ungkapkan perkara yang negatif sebelum kita melakukan sesuatu menyebabkan ia menjadi penghalang utama ke arah pembentukan kejayaan yang bergaya. Betul ke? Pembaca blog boleh lihat dan nilai sebenarnya. Tapi disebabkan kita kurang berfikir halangan demi halangan dibentuk supaya kita tidak berkembang. Kadangkala kita kecewa kerana perkara yang ingin dilakukan untuk anak bangsa diperlekehkan dan tidak mendapat sambutan.
Itu namanya halangan dijadikan momentum lonjakan untuk bergerak lebih pantas menerobosi sempadan yang dibina oleh diri sendiri atau oleh orang lain. Benar, halangan tidak boleh kita tembus jika hati dan dan semangat tidak begitu kuat serta tekad yang lemah. Sebab itu, membentuk kekuatan dalaman mesti melalui proses berterusan bukan 'one stop center'. Bukan sekadar melepaskan batuk ditangga. Kita mesti ada sifat membantu dan memberi manfaat kepada orang lain tidak kira masa, wang dan tenaga. Adakah kita melihat kelemahan sesuatu program sampai kita menghukum semuanya tidak berjaya? Adakah hukuman itu dibuat atas 1,2 atau 3 justifikasi saja? Apakah kayu pengukur memberi hukuman kepada program yang tidak berjaya? Layakkah kita memberi hukuman sehinggakan kita tidak buat apa? Adakah kita kaki komen saja? Itu saja kerja yang mampu kita lakukan. Lontaran ini, untuk kita berfikir dan bermuhasabah diri yang mungkin kita ada melakukan kesilapan.
Selama betapa ini, banyak perkara yang mungkin sama-sama kita boleh melakukan perubahan. Perubahan perlu dilaksanakan bersama. Ramai yang meremehkan perubahan kerana jatidirinya sudah semakin lemah tidak di'charge' semula. Sebab itu, kita dengar rintihan demi rintihan yang tidak sepatutnya. Memang benar, orang suka mengata dari bersama untuk memperbetulkan keadaan. Entahlah, sekarang sudah mula orang melihat kesalahan dari cuba membantu. Belum buat dah kena komen, lepas itu mesti tak buat. Rasa kecewa yang makin menebal tapi disimpan tiada tempat diluahkan. Menangis seorang diri pun tiada siapa yang tahu. Pembaca blog sekali, setakat ini penulis belum menangis, tapi sedih saja.
Kadangkala jadi pejuang yang tidak didendang, amat sukar dari mereka yang suka berdendang atau telah didendangkan. kerana berbeza rentak yang dimainkan maka berbezalah gerak lakunya. Apabila pendekatan tidak popular dikalangan yang popular akan menyebabkan orang tidak mahu memandang apa saja kebaikan yang dilakukan selama ini
Diam itu, lebih baik dari kita bercakap. Jikalau nanti ada percakapan kita menguris perasaan orang lain...
Fikir-fikirkan, renung-renung dan pandang-pandanglah ya...
Selamat beribadat dan Jaga SOLAT ///
Gelombang BIRU>>>
Sunday, October 24, 2010
Keluhan Perantau...
kehinginan desa permai
ku terkenang, kemesraan mu
didalam oh rinduku
ku kembara berkelana
dan membawa hati luka
dimanakah kan ku temui
sinaran cinta suci
dari desa ku merantau
ku memburu cita-cita
walau apa, rintangannya
ku coba mencari bahgia
keluhan ku dirantauan
tak siapa mendengarkan
mungkin esok kan kutemui
sinaran cinta suci....
Sunday, August 29, 2010
Anak muda perlu bimbingan...
Usia muda adalah usia transisi ke arah menjadi insan matang dan stabil. Dalam usia ini, belia perlukan ransangan, bimbingan, kepercayaan dan kerjasama yang mapan daripada golongan masyarakat dewasa serta golongan yang bertanggungjawab ke atas belia. Tanpa sokongan, dorongan itu, belia gagal mengemudi segala kekuatan, ketangkasan, dan keistimewaan yang mereka miliki dalam usia ini. Masyarakat dewasa sewajarnya lebih prihatin pada segala keperluan dan perkara yang diperlukan oleh golongan belia. Allah memuji kehebatan belia melalui hadis Nabi yang bermaksud :- “Telah takjub Tuhanmu dari seorang pemuda yang tiada pincang pemikirannya” Allah memuji belia yang dapat memelihara mindanya daripada keadaan masyarakat yang pincang dan rosak dengan kata-kata indah.
Belia yang patuh dan mengabdikan diri kepada Allah secara konsisten dalam apa jua keadaan, tidak terkesan dengan suasana rosak yang melanda sekelilingnya. Mereka sentiasa berusaha ke arah hidup yang sempurna dalam usaha memikul tanggungjawab sebagai khalifah Allah di muka bumi ini. Mereka sedar dan cakna ini adalah hidup sementara dan akhirat adalah hidup yang kekal abadi. Dalam usia belia generasi ini dikelilingi dengan pelbagai hambatan positif dan negatif.
Mereka perlukan ibu dan ayah yang melentur jiwa mereka dengan melazimkan tingkah laku membina kendiri positif, mendekati dengan kasih sayang, menjadikan mereka sebagai sahabat dan mendidik mereka dengan sifat matang. Ibu bapa juga perlu merancang dan menyusun strategi bergaul seharian di rumah yang konsisten supaya mereka dapat dibekalkan dengan persediaan yang sempurna bagi memikul amanah dan tanggungjawab sebagai belia yang berdikari. Dengan itu, belia juga tidak tertipu dengan ranjau kehidupan dan liku-likunya yang membinggungkan dan mempunyai daya tahan dan kekuatan menolak segala propaganda negatif yang mungkar dan keji.
Dengan keberkatan ibu bapa yang soleh kehidupan belia sentiasa diiiringi dengan doa dan pengharapan yang dapat membantu turunnya pertolongan Allah. Belia perlukan pendidik yang menjiwai masalah mereka, sentiasa memberi motivasi, nasihat dan bimbingan yang tidak mengenal erti jemu dan bosan. Ilmu yang disampaikan perlu sesuai dan memenuhi keperluan hidup di dunia dan akhirat. Pendidik juga perlu menjadikan diri sebagai model kehidupan cemerlang dan profesional. Belia perlukan masyarakat yang prihatin pada perkembangan dan tumbesaran mereka.
Mereka perlukan masyarakat yang menganggap diri mereka seperti keluarga dan darah daging anggota masyarakat itu sendiri. Apabila mereka tersilap jalan dan tergelincir daripada landasan kebaikan dan ketaatan, mereka perlukan bantuan dan bimbingan. Mereka tidak boleh dipinggirkan dan dipandang hina sepanjang masa dan ketika. Belia perlukan pemimpin cakna dan bijaksana yang mengundang rahmat Allah kepada belia, masyarakat dan penghuni alam maya ini dengan membangunkan nilai keinsanan mengatasi nilai kebendaan. Pemimpin begini lebih mengutamakan program membangunkan insan dan sifat keinsanan daripada menyusun strategi dan memperkasa peranan yang dapat dimainkan oleh golongan belia pada peringkat desa, bandar, negeri, negara dan antarabangsa.
SETIAP INDIVIDU PERLU MEMANTAPKAN KUALITI JATI DIRI Perubahan dan peningkatan yang mengangkat kualiti jatidiri individu berlaku apabila mereka ada kemahuan dan keazaman. Tanpa niat, kemahuan, keazaman serta usaha yang digembleng, tunas perubahan tidak berputik. Di sini saya ingin memberi beberapa cadangan bagi belia memantapkan kualiti jati dirinya :-
1. Setiap individu perlu mengubah cara berfikir dan bertindak arah positif
2. Setiap individu perlu berniat dan berusaha mengubah diri mereka kerana Allah tidak mengubah diri individu itu selagi individu tidak mahu mengubah dirinya sendiri.
3. Rasionalnya diri apabila membuat keputusan, jangan menyalahkan sebelah pihak sahaja, bahkan sama-sama mencari penyelesaiannya.
4. Hormati orang tua dan sayangi kanak-kanak serta muliakan para ulama supaya diri terpimpin ke arah kebaikan
5. Sentiasa berusaha mewujudkan persekitaran positif dan mencari sahabat yang baik
6. Sentiasa ada hubungan dengan masjid
7. Sentiasa muhasabah diri (memeriksa diri sendiri berkenaan apa yang sudah dilakukan)
8. Melibatkan diri dengan kerja-kerja masyarakat Peranan Ibu Bapa Semua ibu bapa di dunia ini mempunyai hasrat dan kemahuan menjadi ibu bapa cemerlang, tetapi pengalaman membuktikan banyak ibu bapa merasakan prestasi mereka sebagai ibu dan bapa tidak cemerlang sebagaimana yang diharapkan. Ibu bapa sepatutnya dapat memainkan pelbagai peranan bagi membentuk disiplin dan peribadi anak-anak. Ibu bapa yang gagal melaksanakan tanggungjawabnya dengan sempurna, melahirkan generasi yang pincang sahsiahnya.
Pepatah Melayu ada menyatakan, “melentur buluh biarlah dari rebungnya.” Anak-anak adalah amanah Allah yang besar dan diletakkan ke atas bahu ibu bapa. Amanah ini akan dipersoalkan oleh Allah di kemudian hari. Di sini saya ada beberapa cadangan yang boleh dikongsi atas dasar pemerhatian saya selama bepersatuan :-
a. Ibu bapa sebagai role model kepada anak-anak mereka
b. Ibu bapa perlu mendidik anak dengan penuh kasih sayang, adab sopan dan bersikap jujur. C
. Ibu bapa bertanggungjawab memastikan belia memiliki asas pendidikan agama dan akhlak yang sempurna sebagai bekalan hidup seharian
d. Ibu bapa perlu mengamalkan sikap terbuka dan meluangkan masa berbincang dan berbual-bual dengan anak-anak
e. Anak-anak perlu dilibatkan dalam aktiviti harian keluarga dan pengorbanan mereka perlu dihargai walaupun kecil supaya mereka rasa diperlukan oleh keluarga.
f. Terima pandangan anak yang difikirkan perlu dan libatkan mereka dalam perbincangan yang difikirkan sesuai.
g. Keperluan asas yang difikirkan penting disediakan dalam keadaan termampu. Peranan Masyarakat Institusi Islam bersifat umum dan menyeluruh. Ia adalah institusi sendiri dan bebas dari sistem-sistem lain. Bukanlah menjadi perkara baru apabila Islam mewajibkan masyarakat berasaskan kefahaman Islam. Oleh demikian, masyarakat perlu dikawal oleh syariat Islam. Syariat membawa masyarakat kepada akidah yang sama serta menggariskan ciri-ciri akhlak yang memelihara umat manusia dari berpecah, berbalah, fahaman permisif atau pergolakan yang tidak terpimpin dan akhirnya menjadi masyarakat tidak berperaturan. Bagi membina masyarakat kental dan bersatu serta prihatin pada setiap perkara yang berlaku, Islam menegaskan supaya keadilan dilaksanakan dalam segala aspek dan keadaan.
Dalam Islam, masyarakat dibentuk bukan berdasarkan kulit, bangsa, bahasa dan keturunan. Ia berdasarkan konsep iman, amal dan takwa yang dibentuk dalam hidup individu masyarakat. Saya ada beberapa cadangan untuk saranan bagi setiap lapisan masyarakat bagi memartabatkan potensi belia :-
a. Masyarakat perlu lebih peka apabila menangani budaya negatif
b. Masyarakat perlu beri sokongan moral dan material kepada golongan belia bagi kerja-kerja amal
c. Masyarakat perlu bersungguh-sungguh melibatkan diri apabila diperlukan oleh golongan belia
d. Memasyarakatkan belia dalam aktiviti-aktiviti yang diadakan supaya mereka rasa dihargai dan diperlukan
e. Tegur golongan belia dengan cara profesional tanpa ada kepentingan diri
f. Lapangkan masa supaya dapat bergaul dengan golongan belia
g. Jangan merendah-rendahkan dan membunuh semangat belia tetapi suburkan supaya ia terus bercambah
h. Sentiasa memberi dorongan dan peluang supaya belia memperbaiki tanggungjawabnya dalam apa bidang sekali pun.
Peranan Media Massa Media massa berperanan penting menyalurkan maklumat kepada masyarakat kerana masyarakat kerana ia dapat mempengaruhi dan memberi impak yang besar bagi mewarnakan gagasan kemanusiaan. Dengan peranan media massa, masyarakat sa,a ada yang tinggal jauh, dekat ataupun di mana sahaja, dapat menerima maklumat dengan pantas. Maklumat dan mesej media massa ini dihasilkan dalam bentuk berita yang mudah difahami oleh khalayak.
Maklumat berbentuk berita ini pula disalurkan melalui media elektronik dan media cetak. Berita melalui media elektronik adalah cepat disampaikan kepada khalayak berbanding media cetak. Contoh media elektronik adalah radio, televisyen dan internet. Media elektronik berupaya merentasi benua dan negara yang tidak mungkin dapat dilakukan oleh media lain.
Bagi memastikan peranan media massa ini dapat dikawal dan mempunyai nilai positif yang dapat membina masyarakat dan belia ke arah kebaikan maka ianya perlu mempunyai ciri-ciri sebagaimana yang dinyatakan seperti :-
a. Mendidik pembaca khususnya belia supaya bertanggungjawab mencegah segala bentuk gejala negatif
b. Mengajar pembaca dan belia menghindarkan diri daripada gejala negatif
c. Memperbanyakkan pengisian yang mengisi minda ke arah rohani, jasmani, akal dan emosi yang stabil.
d. Memastikan sistem pendidikan terancang dan berkesan sama ada jangka pendek atau jangka panjang melalui media massa.
Peranan Belia yang mendapat Pendidikan Tinggi
1. Mewujudkan program pembimbing rakan sebaya (PRS)
2. Merancang program bermanfaat untuk belia di waktu cuti
3. Sentiasa bergaul dan beramah mesra dengan golongan belia yang tidak berpeluang mendapat pendidikan tinggi di IPT.
4. Menjadikan diri sebagai role model
5. Menanamkan sifat ithar(mengutamakan saudara seagama lebih daripada diri sendiri ketika diperlukan)
6. Melakukan apa jua perkara semata-mata kerana Allah dan bukan disebabkan pangkat, material dan lain-lain merosakkan amalan. Peranan Masjid atau Surau Masjid adalah hati dan jantung bagi penduduk kampung ataupun taman perumahan.
Apabila masjid dihidupkan dengan amalan agama seperti solat berjemaah, bacaan Al-Quran, huraian hadis, zikir, kelas pengajian, mesyuarat, kelas bimbingan fardu ain, khidmat kebersihan, gotong royong, tempat masyarakat Islam bertemu mahupun khidmat perundingan masyarakat dan beroperasi selama 24 jam, insya-Allah kita dapat melihat suasana tenteram, damai, ukhuwah, berkat dan segala yang baik terpancar dalam masyarakat itu.
Saya ingin mencadangkan beberapa bentuk amalan masjid yang difikirkan perlu diwujudkan di setiap masjid bagi memastikan masjid berfungsi sepenuhnya. Cadangan adalah seperti :-
a. Peranan masjid diperluaskan dan diperjelaskan kepada belia dan masyarakat
b. Perpustakaan mini yang terancang dan terkawal serta sentiasa beroperasi disediakan
c. Perpustakaan perlu dipenuhi buku yang sesuai dengan keperluan belia dan masyarakat
d. Aktiviti masjid yang tidak bertentangan dengan syarak diperbanyakkan dan dipelbagaikan mengikut peredaran semasa
e. Pusat rawatan bagi keperluan masyarakat Islam setempat dan masyarakat umum yang lebih berbentuk kerja sukarela serta amal jariah diwujudkan
f. Risalah percuma menyentuh pelbagai disiplin ilmu diperbanyakkan bagi meningkatkan pengetahuan masyarakat
g. Mengimarah masjid atau memakmurkannya 24 jam
h. Kemudahan asas yang lengkap seperti bilik mandi, bilik salin pakaian, pejabat, telefon, dapur dan tempat istirehat disediakan
i. Kemudahan tetamu yang datang dari jauh seperti tempat rehat, minuman dan makanan ringat disediakan
j. Ahli jawatankuasa yang aktif dan inovatif
k. Dana khas bagi menampung segala aktiviti masjid yang dilaksanakan diwujudkan
l. Program rakan masjid bagi golongan belia dengan jadual terancang diwujudkan
m. Suasana amalan berterusan melalui mesyuarat harian diwujudkan. Sudah masanya belia bangkit dan menyedari segala keperluan yang perlu disempurnakan sebagai khalifah Allah di muka bumi ini. Apabila belia bangkit dengan kekuatan iman, ilmu, fizikal, emosi dan kekuatan lain yang diperlukan.
Insya-Allah dunia menjadi damai, makmur, stabil dan hidayah Allah tersebar di seluruh pelosok rantau. Belia masa kini wajar menyingkap kembali teori dan pratikal yang dibuktikan oleh golongan awal Islam ini bagi mengangkat kembali martabat mereka di persada dunia. Apabila golongan belia tidak dibimbing dan dipandu, mereka gagal melayari hidup yang bertujuan memartabatkan diri sebagai insan cemerlang di dunia dan akhirat. Bagi menjadi belia berjaya, unggul dan cemerlang hari ini memerlukan keyakinan bersandarkan pada iman yang utuh kepada Allah dan rasul-Nya, ilmu bermanfaat yang dipertingkatkan, perubahan sifat, prihatin pada positif dan disiplin diri yang tinggi serta konsisten apabila melaksanakan perkara yang baik. Maju mundur, kaya miskin, hina mulianya bangsa itu adalah di tangan belia hari ini……
Ulama dimuliakan, yang tua dihormati, muda dibimbing, kanak-kanak di sayangi....
Salam,
Tajuk kali ini saya cuba bawakan sebagai renungan bersama, dimana kita sentiasa berhadapan orang yang alim. Orang yang mempunyai daya ilmu yang tinggi dari kita. Mungkin satu hari kita akan bertemu lebih dari seorang untuk pastikan ilmu itu kita dapat. Jarang sekali kita tidak bertemu dengan orang seperti ini. Selalu orang yang menaip, sebenarnya nasihat ini untuk blogger yang menulis. Jika ada yang membaca terasa untuk bersama kita alu-alukan. Ulama selalunya kita fokus kepada mereka yang alim akan ilmu agama. Bagi saya, ia tidak terhad kepada mereka yang alim akan ilmu agama tetapi mereka merupakan insan yang mempunyai daya ilmu yang tinggi. Tidak salah kita memuliakan. Sebagai anak murid, kita perlu mendekati, memuliakan selagi mana ajaran Islam tidak kita langgari. Adakah salah kita memuliakan? Tepuk dada tanya selera. Sejak-sejak akhir ini, kita lihat semakin ramai yang tidak sayang kepada guru mereka. Mana tidaknya guru yang selama ini kita sanjung kita biarkan dan tidak jalinkan hubungan yang baik sebelum ini. Saya lihat setelah pertemuan Old Boys yang lalu menemukan beberapa kawan-kawan yang semakin hebat hari ini. Saya lihat mereka masih sayangkan guru untuk pastikan hubungan dengan guru tidak terhenti disitu sahaja tapi hubungan akrab yang penting diteruskan.
Saya amat teruja dengan semangat kawan-kawan seperti itu, yang masih lagi ada rasa hormat pada guru walaupun guru tersebut pernah mengecilkan hati sahabat saya itu. Bila bertanya apakah resipi terbaik bila ada konflik ini, sahabat saya selamba sahaja jawab, ikut rentak dan jangan melawan. Bila difikir mungkin ada benarnya. Kadangkala guru kita mempunyai lontaran pemikiran yang berbeza dengan kita. Sebab itu, kita harus mengikut rentak yang dimainkan oleh guru kita pada masa yang sama kita juga menyusun rentak agar kita boleh membina hubungan yang baik. Tapi selalunya bila kita berhadapan dengan konflik kita selalu memastikan ego kita di hadapan dan konfrontasi merupakan elemen terpenting untuk memastikan lawan dan kawan akan berbalah. Guru saya berpesan, bila ada dua kelompok sedang berbalah, yang memerhati wajib meleraikan. Dengan memuliakan guru, kita perlu hormati mereka ini. Mungkin selalu kita terguris tapi kadangkala pengorbanan itu satu penyeksaan dari penantian yang lama. Perit ini telah saya lalui dan menggunakan resipi yang sama. Belajar dari orang yang alim... itulah yang saya dapat.
Orang muda, selalu ikut darah amarahnya. Kadangkala yang kecil rasa besar, besar rasa kecil dan sebaliknya. Kita tidak sedar bahawa sebagai orang muda mesti mempertingkatkan ilmu agar kita disegani dengan memiliki ilmu yang boleh dimanfaatkan oleh orang lain. Tapi sedarkah kita, dalam memperoleh ilmu kita mesti mendapat tunjuk ajar dari orang yang alim? Adakah kita berbangga apa yang kita miliki hari ini? Maka kita bermuhasabah apa yang kita kecapi ini adakah kita perolehi tanpa bantuan orang lain. Mustahil semua dengan bantuan orang lain dengan izin Allah.
Penulisan ini sekadar renungan bersama. Bukan nak cari salah atau menunjukkan kesalahan sesiapa. Saya juga manusia yang mempunyai kesilapan mungkin sama, tapi kita sama-sama perbaiki. Jika alim Ulama' kita tidak muliakan, yang tua tidak dihormati apa lagi yang kita ada. Kita sebagai manusia mempunyai kelemahan dan mesti membentuk kekuatan yang ada sekarang dengan bermohon kepada Allah. Maka bermuhasabah diri untuk membentuk sikap yang lebih profesional dalam kita berhadapan konflik. Kita sudah dewasa dan memahami apa yang berlaku disekeliling.
Ingat, Keris yang kita pegang jangan kasi orang lain rampas... Pertahankan dan belajar lah ilmu seni KERIS PUSAKA BANGSA...
Sunday, August 15, 2010
Sunnah Berjuang
Sudah sunnah orang berjuang
Menggembara dan berkelana
Miskin dan papa jadi tradisi
Berenggang dengan anak dan isteri
Biasanya Para pejuang
Rumah mereka merata-rata
Rezekinya tidak menentu
Tidur baringnya tak berwaktu
Orang lain membuat harta, Tapi dia, membuangnya
Orang lain kawan terbatas, Tapi pejuang kawan merata
Orang lain musuhnya kurang
Pejuang musuh tidak terbilang
Sudah Sunnah orang berjuang,
Menggembara dan berkelana
Miskin dan papa jadi tradisi
Berenggang dengan anak dan isteri
Tidak kurang yang sayang padanya
Orang lain mati dilupa
Para pejuang tetap dikenang
Sejarahnya ditulis orang
Makamnya sentiasa diziarahi
Perjuangan tetap diingati.
Tuesday, August 3, 2010
G A Y O N G
Fikir-fikirkanlah...
Monday, July 26, 2010
BERSATU KITA TEGUH
Kita sebagai manusia tidak pernah terlepas atau lari dari membuat kesilapan. Kadangkala kita perlu paksa diri ini untuk melakukan kebaikan setidaknya menjaga diri ini. Tetapi ramai yang tidak sedar bahawa dengan memaksa diri di peringkat awal, secara tidak langsung ia akan menjadi perkara rutin. Dalam konteks BERSATU sepatutnya kita perlu faham dan sedar konteks perpaduan itu mesti ada satu kelompok atau individu itu memulakan. Jika kita lihat yang kita berhadapan itu lebih tua dari kita, sepatutnya kita yang muda patut mulakan. Sebagai penghormatan. Kadangkala manusia ini penuh dengan keegoan. Tapi seperti biasa, bila sesuatu kebaikan itu hendak dimulakan maka pelbagai hasutan dan bermacam jenis kata orang akan keluar. Tapi kita sebagai manusia, mesti tetap teguh pendirian kita, dan bermohon kepada Allah, agar keputusan yang kita bawa dan gerakkan niat mesti ikhlas.
Selalu perkara yang baik memang payah untuk kita mulakan. Selalunya kehendak dalaman diri kita yang mencipta andaian. Sebab terlalu banyak andaian lah kita payah nak bersatu. Saya juga terfikir kadangkala kita juga ada buat silap, tetapi kita mesti mengenepikan ego kita untuk memastikan tujuan dan hasrat bersatu itu dicapai. Bila saya melihat beberapa pertubuhan belia, pertubuhan silat dan bermacam lagi mengalami pepecahan yang kita tidak sangkakan. Maksud bersatu boleh ditafsirkan bermacam-macam analogi. Tapi bagi pembaca blog sudah bijak untuk menafsir. Terpulanglah bagaimana kita ingin buat keputusan yang bijak untuk pasti agenda perpaduan ini berterusan menjadi SATU Wadah perjuangan dimana kesannya akan mula dirasai.
Jika orang KITA sudah mula berpecah, kita akan menjadi seperti SEJARAH ANDALUSIA dan SEJARAH KEHEBATAN KOTA MELAKA. hanya sebab iri hati, pecahan dalaman dan seterusnya kita tidak mahu untuk bersatu maka hancurlah impian yang kita bina hari ini dan sebelumnya. Untuk masa depan, cucu cicit kita akan bertanya makakah kehebatan sejarah yang terdahulu, mungkin kita akan disalahkan disebabkan kita bongkar dan sombong untuk bersatu.
Pandang-pandang, renung-renungkan dan fikir-fikirkan...
Sunday, June 27, 2010
Kuasa Melayu ...
Hari ini bila bercakap akan politik ramai yang meluat. Tetapi bila bercakap hal yang tidak ada masa depan seperti mengata orang, mengumpat orang semua orang boleh laksanakan tanpa rasa segan silu. Mungkin ramai tak sedar menjaga politik negara, sebenarnya kita boleh menentukan masa depan negara dengan menjadi pengundi yang bijak. Bila dibaca suratkharbar Berita harian hari ini 1:40, 1 melayu dan 40 bukan melayu nisbah pengundi yang ada di Malaysia. Tapi hairan kenapa masih belum ada orang sedar akan kesan politik semasa kepada diri. Jika tersilap langkah, negara akan tergadai.
Saya menulis ini, atas keprihatinan saya terhadap senario politik semasa di Malaysia. Kita boleh lihat kuasa orang melayu semakin kecil peratusnya serta terbahagi kepada 3 bahagian. Bagaimana kuasa boleh menentukan masa depan negara. Ramai yang tidak sedar, atau buat-buat tak sedar, di mana menentu hala tuju negara adalah kita. Ramai yang sangka parti mereka itu adalah benar dan boleh membenarkan apa saja. Sedangkan kita lihat beberapa percanggahan berlaku dari segi maklumat yang kita terima. Sebenarnya kita perlu kembalikan kuasa orang MELAYU dalam menentukan destinasi perjuangan kita. Kita tidak boleh taksub dengan sesebuah parti cap ayam atau unta. Kita perlu kembalikan kepadaKERIS perjuangan bangsa kita dahulu dengan tujuan untuk pastikan matlamat dan kuasa Melayu dapat dikekalkan. Pepecahan dari parti secara tidak langsung memberi ruang dan peluang kepada bangsa asing melihat kita semakin lemah.
Kuasa Melayu yang sebelum ini 60% kekal kuat untuk memastikan perjuangan Perlembagaan Fasal 153 kuat untuk dipertahankan ketika itu. Tapi kita semakin hari semakin kering dan halus dikeluarkan kerana tinggal 20% kuasa Melayu? Adakah ia benar? Jika tidak manakan Melayu akan menjadi kuat seperti dulu. Kuasa Melayu semakin terhakis akibat semua orang inginkan kuasa. Kuasa menentukan hala tuju negara bangsanya. Kita kini semakin hilang taringnya, kuasanya dek akibat kerakusan beberapa orang Melayu yang ingin menjadi Perdana Menteri.
Kepada mereka yang belum mendaftar pastikan diri anda terus mencari kaunter pendaftaran untuk mendaftar memilih. Kepada mereka yang sudah boleh mengundi anda perlu bijak memilih. Sokongan kepada parti anda itu perlu dibuat tetapi memilih KERIS perjuangan bangsa andalah pilihan bijak dan memastikan masa depan anak-anak kita terjamin. Buat pilihan yang tepat.
Saja dok tulis...
Wednesday, June 23, 2010
Belajar melihat kesilapan diri sendiri
Renungan kali ini, adalah perkongsian ilmu yang dapati selama merantau ini. Dalam kita merantau, sebenarnya kita perlu melihat atau menghisab diri sendiri akan kelemahan yang ada. Selalunya kita akan melihat kesilapan orang lain lebih dari melihat kesilapan diri sendiri. Ini berlaku kerana HATI. Memang benar, kita selalu melakukan kesilapan. Tidak ada manusia yang sempurna sifatnya, tingkah lakunya dan tindak tanduknya. Jika adayang sempurna.. mungkin dia rasa terlalu hebat. Bagi saya, tidak ada yang sempurna termasuklah diri saya. Perkongsian ini dicetuskan apabila kita sentiasa keraskan hati apabila kita ingin meminta maaf dan memberi maaf. Sedangkan kita lupa, Allah Maha Kuasa dan Maha Menguasai akan hati manusia.
Jika kita mendengar beberapa bahan ceramah dari ulama', mereka menggalakkan kita kita supaya meminta maaf dan memberi maaf jika orang yang kita jumpa itu tidak mahu memaafkan. Adatlah manusia ini ada sifat EGO yang tidak mungkin dilenturkan oleh sesiapa. Jika hati itu berpaut dengan kalimah Allah, selalunya mudah. Tetapi tidak, sebagai umat Islam kita patut mendoakan orang yang sebegitu. Hairan dibuatnya apabila kita mempunyai hati yang keras. Baru saya sedar, hati yang keras tidak membawa kemana pun. Jika diingat lagu kumpulan Hijjaz 'Pandangan mata selalu menipu, pandangan akal selalu tersalah, pandangan nafsu selalu melulu, pandangan hati itu yang hakiki, kalau hati itu bersih'.
Kadangkala, kita tak sedar dimana kita juga ada masalah yang sama. Hati yang kadangkala pagi-pagi iman yang meningkat, kadangkala petang pula iman menurun, ini menyebabkan kita kurang waras berfikir untuk melihat kesilapan diri ini. Kita perlu sedar, mencari kesilapan diri sudah dituntut dalam Islam. Sebab dengan melihat kesilapan diri, kita akan belajar serta melakar keupayaan saujana yang boleh memberi ruang dan peluang kita berfikir dan membetulkan kesilapan. Tapi bila kita angkuh dengan apa yang kita ada, sebenarnya kita melakukan kesilapan yang nyata. Usahlah kita pertahankan benang yang basah, sedangkan kita tahu dimana silapnya. Lagi satu belajarlah memberi maaf dan meminta maaf. Usah kita kirakan siapa yang salah dan betul. Kita pun bukan selalu betul, dan sering melakukan kesilapan. Maka lihat, renung dari sudut yang berbeza. Mungkin kita akan ketemui jalan yang penuh dengan cahaya.
Terima kasih, Selamat berpuasa dan beramal...
KERIS PILIHANKU...
Tuesday, June 22, 2010
Belia...
Wednesday, June 16, 2010
Bukan kemenangan yang dicari.....
Sudah ku bilang, akan ramai yang salah tafsir apa yang kita sampaikan. Walaupun niat baik akan disalah erti oleh sesetengah pihak. Entahlah apa yang bermain dalam pemikiran orang sekarang. Baik yang diungkap buruk yang ditafsirkan. Bila dikaji kenapa dan bagaimana Keruntuhan Kota Melaka perlu dijadikan teladan. Disebabkan iri hati, fitnah dan hasad dengki runtuh lah sebuah kota yang termasyhur satu ketika dahulu. Tapi adakah sekarang masih lagi kita mencari salah orang. Tidak habis-habis mencari salah.
Pernah satu ketika orang bertanya, "Hang dah lama ke bersilat", atau "hang boleh ke bersilat". Saya senyum saja. Buat apa nak cakap atau kata kita boleh atau tidak. Diam tidak bererti kita bersetuju, berkata nanti risaukan dikatakan kurang waras dan biadap. Entahlah yang mana satu betul pun tidak tahu. Jika dilihat Nasihat Luqman Al-Hakim, pernah mengalami satu situasi yang dimana, orang melihat apa saja tindakan laku Luqman Al-Hakim adalah salah. Sehinggakan bawa keldai salah, ditunggang pun salah, sehinggakan ditinggalkan keldai itu, baru semua orang puas hati ke? Dunia semakin tersempit dengan perasaan yang bercampur baur yang tidak diselami dengan Iman dan Amal. Saya menulis, maka saya mesti lakukan lebih dari mereka yang membaca. Jari saya hampir dengan hati.
Bersilat bukan membina kekuatan semata-mata. Tetapi ia mengasahkan gerak hati yang kuat. Melihat gerak lawan yang berbeda-beda serta mengetahui gerak lawan yang mungkin kita tidak sedar. Tapi kita perlu akui setiap manusia ada kelemahannya. Adakah mengakui kelemahan itu susah sehinggakan kita masih meletakkan keegoan kita sebagai orang yang tidak boleh ditegur.
Semangat kekeluargaan yang telah dipupuk oleh guru patut dicontohi. Mungkin pelbagai tanggapan akan muncul, sedangkan ia perlu dikaji dari pelbagai sudut. Adakah salah kita menghormati guru kita yang sedia ada? Adakah salah kita berguru dengan orang lain? Adakah kita tahu ilmu yang guru kita turun kepada kita akan memberi 1001 erti dan menjadi perhiasan diri? Sedangkan menuntut ilmu itu wajib bagi setiap umat Islam. Maka carilah ilmu walaupun kita berada di mana saja. Kemampuan diri kita hanya kita tahu bagaimana hendak tingkatkan atau kita buat seperti biasa. Jika ia biasa, orang tahu ia biasa, jika luar biasa, orang lain akan dapat merasainya. Kenalpasti kekuatan kita di mana? Adakah kita sanggup mencarinya? Adakah kita mampu mencari ilmu selagi hayat ada dikandung badan? Berani atau tidak kita tentukan. Usahlah mencari salah orang lain, sedangkan kita masih lagi membuat kesilapan yang sama. Saya juga insan yang lemah, sentiasa ada kelemahan. Tetapi hisablah diri sendiri dan kenalpasti kelemahan diri untuk ditingkatkan kekuatan yang jauh lebih hebat dari masa yang lalu.
Dalam silat saya diajar hormati guru (tidak kira dari mana), disiplin, patuh arahan selagi ia benar, dan taat kepada organisasi yang menjadi tunjang kepada asas perjuangan pertubuhan. Jika terpesong wajib untuk kita tegur, dan bersedia untuk kita berundur, jika dikalangan ahli tidak mahu mendengarnya. Kemenangan bukan menjadi asas perjuangan, tapi semangat kekeluargaan yang menjadi asas pertimbangan dalam pertubuhan. Sudah lama saya rindukan semua ini. Saya dimarah, ditengking dan dilipat oleh guru saya sendiri, tapi saya merasai kepuasan bila mempelajari ilmu persilatan. Keluarga yang saya dapat terlalu ramai, tidak kisah kau pakai bengkung apa atau sandang apa. Menjadi kemesraan pada Kursus Kejurulatihan pada hujung Disember 2008, terkumpulnya semua pendekar yang tidak termasyhur di Negeri Perak. Begitu indah bahasa, tunduknya mereka kepada guru walaupun berpelajaran tinggi.
Renung-renung, fikir-fikirkanlah dan pandang lah kehadapan...
Blogger menulis bukan kerna nama, tapi atas nama perjuangan...
Kepuasan Berpersatuan . . .
Pengalama pertama ke luar negara pada tahun 2003, ke Maghribi yang mengambil masa hampir 13 jam perjalanan. Pertama kali mestilah rasa kekok. Dengan pelbagai karenah antarabangsanya. Lagi pun kita bukan tahu apa yang perlu di bawa. Tapi pengalaman ini amat berharga sehinggakan kita rasa bersyukur dan cintakan kepada Negara MALAYSIA teramat sangat. Bila di lihatkan negara orang terlalu banyak kekurangan. Maka kenapa perlu kita bercakaran di negara sendiri. Dari Maghribi saya ke London dan Paris. Dua ibu negara ini saya tidak lama, hanya singgah sebentar sahaja. Peluang demi peluang saya dapat yang iaitu untuk mengembara seluruh negara di Malaysia. Tahun 2005, diberi peluang untuk mengikuti Program Intergrasi 3S (Semenanjung, Sabah dan Sarawak). Negeri Sabah dan Sarawak memanglah negeri yang saya tidak pernah pergi ketika itu. Tapi sekarang sudah tidak boleh dikira. Semasa program ini kita dilantik sebagai penghulu peserta. Pengalaman yang tidak boleh saya lupa menangis yang teramat sangat semasa program keluarga angkat di Felda Sungai Sayong, Johor. Entah macam mana air mata laju mengalir di pipi saya, ini kerana berpisah sementara dengan ibu dan ayah angkat di sana. Tapi masa program ini saya sentiasa membuat pertunjukkan silat sebagai persembahan awal. Seronok rasanya, bila dalam keadaan umur sebegini teringatkan masa dulu...
Maka, bila berpersatuan, satu negara demi satu negara saya pergi sebagai wakil badan NGO dan berkongsi pandangan di negara luar. Seperti Cambodia, Palembang, Acheh, Medan, Filipina, China-Beijing, Guang Zhao, Shenzhen dan beberapa negara yang hendak diingat. Ini bukan satu kebanggaan, tapi rasa syukur kepada yang Maha Esa, memberi ruang dan peluang untuk melihat dunia ciptaan Nya. Rasa syukur juga, bila kita berpersatuan sebenarnya mengasah bakat yang terpendam dalam diri. Cerita ini adalah pengkongsian pengalaman blogger kerana ilmu yang dipelajari dalam persatuan tidak boleh dijual beli. Maka, kepada adik-adik yang baru mula berkecimpung dengan dunia persatuan, beri peluang kepada diri untuk menceburi perkara baru yang sukar kita miliki di tempat lain.
Kita akan belajar bagaimana kita ingin merasa sayang kepada pertubuhan dan kepada Negara. Itu yang akan bakal diterapkan apabila rasa cinta dan sayang kepada Negara. Kepuasan berpersatuan akan kita kecapi bila niat murni dan suci ini diterbitkan dengan keikhlasan dalam kita memperjuangkan pertubuhan kita. Mungkin ramai tidak mengetahui apa yang kita lakukan, tapi biarlah Allah saja yang tahu. Ikhlas biarlah kerana Allah bukan kerana simpati manusia. Sebab itu, mesti niat untuk berjuang habis-habisan dan memastikan rakan-rakan seangkatan kita dapat kecapi kejayaan bersama-sama. Slogan GPMS, Belajar Terus Belajar. Kepada pelayar blog ini teruskan usaha untuk memajukan diri, agama, bangsa dan negara....
Nantikan episod ini....
Tuesday, June 15, 2010
Lontaran Pemikiran dari Ilmuwan ...

Monday, June 14, 2010
Redha dengan ketentuan Ilahi...

Pejuang yang tak di dendang
Kadangkala aku sedih seorang diri
Kadangkala aku dihina, diherdik
Tak siapa yang tahu
Jaya atau tidak mereka cuma berkata
Tapi aku tak ingin bangsaku
Aku berjaga berfikir
Tapi bangsaku tidak sedar…
Yang pasti menghina dan mengata
Sedih dalam hati ini tak siapa tahu…
Aku masih pejuang bangsaku
Yang tidak didendang dalam lagu
Adakah aku yang bersalah?

Sebab itu, kita mesti sentiasa mencari dan terus mencari ilmu selagi hayat dikandung badan selagi mana jasad dan roh masih bernyawa kita mesti teruskan pencarian ilmu ini. Mencari ilmu itu penting. Tapi dalam kita mencari ilmu, setiap manusia sering mencari salah dan menjadi sempadan kepada pencarian tersebut. Program demi program kita lakukan. Sebenarnya setiap program kita akan mempelajari satu lagi ilmu yang mungkin kita tidak pernah tempuhi. Sebab itu, keinginan dan sentiasa berharap kepada Allah SWT merupakan nadi yang paling utama.
Dalam Kursus Perkaderan yang lalu, ada beberapa isu yang menjadi persoalan di luar sana. Adakah kursus ini teruk sangat? Adakah ia tidak memberi kesan? Sebenarnya gambaran ini adalah persepsi yang dibina oleh individu tertentu agar tidak mahu dengan berpersatuan. Apa boleh kita katakan, sudah menolak nak dipaksa takut nanti memberontak secara diam. Maka dibiarkan dan dibiarkan tanpa ada yang menghalangnya.

Iaitu Doa, Usaha, Istiqamah dan Tawakkal. Setelah diperhatikan perkara ini adalah elemen penting dalam menjana perubahan minda, emosi, jasmani dan rohani. Tapi kadangkala kita dipersalahkan kerana kita buat anak murid depa jadi takut dengan program. Sedangkan perasaan itu mereka yang bina menjadi lebih takut dan jauh dari sesuatu pertubuhan itu. Adakah kita berani untuk membawa perubahan dengan kesusahan demi kesusahan kita hadapi? Mungkinkah kita berani untuk menempuhi satu kesusahan diluar sana.
Kita dikatakan menakut-nakutkan peserta. Sedangkan usaha dunia diluar sana, akan pasti lebih mencabar dan lebih hebat lagi ancamannya. Bagaimanakah kita nak anak bangsa kita yang akan datang berhadapan dengan dunia luar. Memang benar, semua orang memberi penekanan motivasi yang tinggi, sedangkan sejauh manakah ia berkesan. Pernah kadangkala ayat berbunyi, "Aku dah lama dalam persatuan, ko tu baru", "Aku lagi lama, eloknya ko tu baru lagi". Adakah itu yang kita banggakan. Dengan memberi pengiktirafan kepada diri sendiri, bak kata pepatah, "angkat bakul sendiri". Hmm.. hairan bin ajaib, ramai yang mengaku sebegitu, tapi sejauh manakah kemampuan mereka?
Mungkin cerita adakah aku bersalah, akan disiarkan lagi dalam episod Pak Pandir dengan anak-anaknya. Mungkin boleh dikongsi bersama sebagai pengajaran.
Sunday, June 13, 2010
K I S A J

Cuma ingin berkongsi ilmu di dalam blog ini... saya dapat maklumat ini dari seorang yang saya hormati iaitu Dr. Khairuddin semasa menjadi panel Anugerah Belia Negara 2010. Semasa perjalanan ini, banyak perkara yang saya pelajari. Maka saya pelajari secara terus dari individu yang bakal saya jumpa. Jarang dalam ilmu secara terus ini. Di bawah ini adalah maklumat yang ingin saya kongsi, boleh diterima atau dibiarkan atau buat tak tahu saja...
K - Khalifah, semua manusia dijadikan sebagai pemimpin. Sedar atau tidak kita yang tahu
I - Iqra / Ilmu - Semua insan dan pemimpin mesti memiliki ilmu ini untuk mempertingkatkan ilmu di dada.
S - Salam / Mengambil tahu - Sebagai insan dan pemimpin kita kena sentiasa mengambil tahu dan memberi salam. Sebarkan salam keseluruhan umat yang ada di dunia ini. Baik Melayu, Cina dan India kita mesti memberi salam.. seperti Assalamualaikum, Selamat Pagi, Salam Sejahtera, Good Morning apa saja yang baik.. tapi adakah kita lakukan?
A - Azan / Seru - Azan yang kita dengari selalu adalah menandakan sudah masuk waktu solat dan mengajar semua insan yang beriman untuk solat. Sama juga konsep yang digunakan iaitu mengajak manusia ke arah kebaikan. Tetapi seberapa ramaikah yang ingin melaksanakan tugasan tersebut...
J- Jemaah - Bergerak dalam satu organisasi yang kuat, hati yang tulus suci tanpa ada iri hati.. mampukah kita?
Persoalan ini timbul apabila disekeliling saya didatangi beberapa perkara yang mungkin kusut dan sedang saya mencari jalan penyelesaian. Nak mencari? Perlukan akal yang panjang dan tenang. Selalu saya kata pada diri, tenang, tenang, tenang. Macam-macam perkara berlaku yang sukar untuk kita duga. Yang pastinya gerak hati mesti kuat untuk hadapi semua perkara ini.
Ramai yang menyangka mereka itu kuat, sedangkan bukan kuat yang dicari, tetapi ketenangan dan kekuatan iman yang dicari. Adakah bila kita berkuasa akan menyebabkan ramai orang yang akan dikecewakan? Menjadi pemimpin tak semestinya akan memuaskan hati semua orang. Sebab bukan semua orang akan puas apa yang kita lakukan serta tindakan yang bakal kita laksanakan. Hampir 17 tahun berkecimpung dalam dunia persatuan banyak yang saya lihat kekuatan dan kelemahan. Kadangkala kita sangka kita mampu, tapi orang lain pula lihat kita tidak mampu. Mereka kata depan lain, tapi belakang lain pula yang dikata. Kadangkala kita terpaksa berhati-hati. Kerana risaukan bila kita katakan itu jadi salah.
Apapun, kita mesti sentiasa berhati-hati dengan kata dan tindak laku. Kerana mungkin orang lain akan salah faham apa maksud yang ingin kita sampaikan. Walaupun ia benar, orang mungkin salah faham maksud yang ingin kita sampaikan. Saya juga ada kesilapan dan bukan insan yang sempurna untuk membina mahligai yang indah, tapi kita berusaha membina sesuatu yang rasa ia mungkin dapat dilaksanakan dengan usaha yang kecil ini...
fikir-fikirkan...
Sengaja...

"gebar senja pemisah siang,
larut malam bintang beribu,
embun menitis dihujung daun,
melangkas deras lari si kijang,
membuka jalan arah nan satu,
tidak tersekat hutan merimbun."
"negeri kemarau panas membara,
keringlah sudah air dikali,
walau nyawa dihujung senjata,
untuk menyerah tidak sekali."
"awan gemulung ditolak bayu,
angkasa merah dinoda darah,
berpusar angin keliling aku,
menghembus kencang dengan perintah."

"dari dalam menjalar sulur,
memaut batu pecah berderai,
dari dalam geraknya mengembur,
memaut tubuh julang mengapai."
"panas ditempa pahatan waja,
sejuk membeku sedingin embun,
tidak tunduk menghadap raja,
teguh berdiri tidak diampun."
"mengalir jauh turun ke muara,
turun laksana bulan diriba,
membawa kasih dihati sang wira,
langkahnya satu belenggu sengsara."
"mencari takdir telah tersurat,
mengapai-gapai tidak terlihat,
teruskan langkah berpandu firasat,
keluarlah tuan bertemu alamat."

"tiada taranya gemilang mentari,
sinari jiwa membangkit seri,
walaupun hujan turun di hati,
merdunya suara empunya diri,
meruntun hamba membawa ke mari,
apakah tujuan diri dinanti???
"merah garis jangan dijauhi,
bukan darah dendam dan geram,
akibat pincang cintanya suri,
takdir tertulis kehendak ilahi,
keris sebilah membawa suram,
akan menggoncang banyak negeri."
"kerana cinta.... segala rasa,
tiada kurnia sehebat ia,
biar lemas dilambung gelora,
biar hangus dibakar pawaka,
terus kekal ke hujung dunia,
selagi adanya cinta."
"sekian lama menghilang diri,
jiwa merana lara sanubari,
kerana dendam sumpah diberi,
semangat tegap tunjang berdiri."
"kilauan sakti tonggak beribu,
sinar gemilang kota jajahan,
cindai ditabir lembut kekabu,
keras disulam tunjang penyerahan."
"terbang tinggi sampai ke awan,
lebar sayap membayang bumi,
melindungi takhta payung mahkota,
tidakkan gentar musuh dilawan,
helang kencana menabur bakti,
pada Dasyuria sumpah dikota."
"sambunglah mimpimu,
ke alam seberang awan,
moga bercucuran keatasmu,
rahmat limpah tuhan.
bonda akan menanti,
ayahanda sentiasa menunggu,
bila celik matamu nanti,
ditimang putera sayangku."
"dari dalam menjalar sulur,
memaut batu pecah berderai,
dari dalam geraknya menggembur,
memaut tubuh julang mengapai."
"hancur hatinya penuh sengsara,
mengangkat jasad cinta terlara,
berhembus angin dari utara,
membawa bersama dua bentara,"
"bagaikan puteri tidur lena,
tenang wajahnya bulan laksana,
dua bentara sedih merana,
melihat nafisha ditimpa bencana."
"pemusnah jiwa diam memberi,
dua bentara sedia menanti,
lalu dibawa kasihnya pergi,
kampung kaswana tempat semadi....