Wednesday, June 16, 2010

Bukan kemenangan yang dicari.....

Salam,
Sudah ku bilang, akan ramai yang salah tafsir apa yang kita sampaikan. Walaupun niat baik akan disalah erti oleh sesetengah pihak. Entahlah apa yang bermain dalam pemikiran orang sekarang. Baik yang diungkap buruk yang ditafsirkan. Bila dikaji kenapa dan bagaimana Keruntuhan Kota Melaka perlu dijadikan teladan. Disebabkan iri hati, fitnah dan hasad dengki runtuh lah sebuah kota yang termasyhur satu ketika dahulu. Tapi adakah sekarang masih lagi kita mencari salah orang. Tidak habis-habis mencari salah.


Pernah satu ketika orang bertanya, "Hang dah lama ke bersilat", atau "hang boleh ke bersilat". Saya senyum saja. Buat apa nak cakap atau kata kita boleh atau tidak. Diam tidak bererti kita bersetuju, berkata nanti risaukan dikatakan kurang waras dan biadap. Entahlah yang mana satu betul pun tidak tahu. Jika dilihat Nasihat Luqman Al-Hakim, pernah mengalami satu situasi yang dimana, orang melihat apa saja tindakan laku Luqman Al-Hakim adalah salah. Sehinggakan bawa keldai salah, ditunggang pun salah, sehinggakan ditinggalkan keldai itu, baru semua orang puas hati ke? Dunia semakin tersempit dengan perasaan yang bercampur baur yang tidak diselami dengan Iman dan Amal. Saya menulis, maka saya mesti lakukan lebih dari mereka yang membaca. Jari saya hampir dengan hati.

Kemenangan tidak bererti kita menyatakan kita dipihak yang benar dan betul. Kekalahan tidak bererti kita sebenarnya lemah dan tidak bermaya. Tapi kemampuan mengangkat diri sendiri ke tahap yang lebih dari sebelum itu lah yang dituntut. Bukankah mencari salah itu akan menyebabkan kita akan menindas orang yang bersalah, tetapi menegur cara yang berhikmah yang dituntut dalam Islam. Adakah kita menegur itu salah? Salah bila tidak kena dengan caranya. Entahlah, adakah semua orang itu baik sangat ke? Sehingga menegur sudah dianggap satu kesalahan. Kita fikir sendiri....

Bersilat bukan membina kekuatan semata-mata. Tetapi ia mengasahkan gerak hati yang kuat. Melihat gerak lawan yang berbeda-beda serta mengetahui gerak lawan yang mungkin kita tidak sedar. Tapi kita perlu akui setiap manusia ada kelemahannya. Adakah mengakui kelemahan itu susah sehinggakan kita masih meletakkan keegoan kita sebagai orang yang tidak boleh ditegur.

Bersilat sebenarnya baru lagi, langkah dan gerak mungkin dilihat sumbang. Tapi, gerak hati lawan masih kita boleh ketahui dengan Izin Allah. Tapi kena belajar lah bersungguh-sungguh. ada satu ketika dahulu ada orang ajak saya untuk masuk silat olahraga. Sebenarnya bukan kemenangan dicari tapi kepuasan yang dicari. Mencipta nama dalam untuk diri sendiri itu yang paling utama. Merasai bagaimana pertandingan, dan merasai bagaimana menang dan dikalahkan. Perasaan itu tidak boleh dapat bila kita keluar dari dunia yang lain. Sebab itu menang bukan yang dicari tetapi kesungguhan dan keazaman dalam mencapai kejayaan itu yang penting. Niat yang ikhlas untuk membuktikan kita mampu itu yang patut kita tingkatkan. Bila kalah tidak bererti kita tidak mampu bangkit, tapi kebangkitan selepas kalah akan lebih digeruni bagi mereka yang sekali atau dua kali kenal erti pejuang.

Semangat kekeluargaan yang telah dipupuk oleh guru patut dicontohi. Mungkin pelbagai tanggapan akan muncul, sedangkan ia perlu dikaji dari pelbagai sudut. Adakah salah kita menghormati guru kita yang sedia ada? Adakah salah kita berguru dengan orang lain? Adakah kita tahu ilmu yang guru kita turun kepada kita akan memberi 1001 erti dan menjadi perhiasan diri? Sedangkan menuntut ilmu itu wajib bagi setiap umat Islam. Maka carilah ilmu walaupun kita berada di mana saja. Kemampuan diri kita hanya kita tahu bagaimana hendak tingkatkan atau kita buat seperti biasa. Jika ia biasa, orang tahu ia biasa, jika luar biasa, orang lain akan dapat merasainya. Kenalpasti kekuatan kita di mana? Adakah kita sanggup mencarinya? Adakah kita mampu mencari ilmu selagi hayat ada dikandung badan? Berani atau tidak kita tentukan. Usahlah mencari salah orang lain, sedangkan kita masih lagi membuat kesilapan yang sama. Saya juga insan yang lemah, sentiasa ada kelemahan. Tetapi hisablah diri sendiri dan kenalpasti kelemahan diri untuk ditingkatkan kekuatan yang jauh lebih hebat dari masa yang lalu.


Dalam silat saya diajar hormati guru (tidak kira dari mana), disiplin, patuh arahan selagi ia benar, dan taat kepada organisasi yang menjadi tunjang kepada asas perjuangan pertubuhan. Jika terpesong wajib untuk kita tegur, dan bersedia untuk kita berundur, jika dikalangan ahli tidak mahu mendengarnya. Kemenangan bukan menjadi asas perjuangan, tapi semangat kekeluargaan yang menjadi asas pertimbangan dalam pertubuhan. Sudah lama saya rindukan semua ini. Saya dimarah, ditengking dan dilipat oleh guru saya sendiri, tapi saya merasai kepuasan bila mempelajari ilmu persilatan. Keluarga yang saya dapat terlalu ramai, tidak kisah kau pakai bengkung apa atau sandang apa. Menjadi kemesraan pada Kursus Kejurulatihan pada hujung Disember 2008, terkumpulnya semua pendekar yang tidak termasyhur di Negeri Perak. Begitu indah bahasa, tunduknya mereka kepada guru walaupun berpelajaran tinggi.

Renung-renung, fikir-fikirkanlah dan pandang lah kehadapan...

Blogger menulis bukan kerna nama, tapi atas nama perjuangan...

No comments:

Post a Comment